WAYNE Rooney (depan) sandaran  utama United robek gawang  Cambridge.
WAYNE Rooney (depan) sandaran utama United robek gawang Cambridge.
AFP

London: Manchester United berdepan satu lagi pasukan yang sering mengecewakan kelab besar dan juara Piala FA sebanyak 11 kali itu diundi bertemu Cambridge United di pusingan keempat.

Anak buah Louis van Gaal diundi menentang salah satu pasukan kerdil yang masih bersisa di dalam saingan Piala FA dan mereka bakal bertandang ke Stadium Abbey pada 24 Januari nanti.

Cambridge yang dikendalikan Richard Money menduduki 79 anak tangga lebih rendah berbanding pasukan Van Gaal yang berjaya mengelak daripada dimalukan pasukan Yeovil pada pusingan ketiga, Ahad lalu.

Sementara itu, juara bertahan, Arsenal yang menang 2-0 ke atas naib juara tahun lalu, Hull di pusingan ketiga, turut berharap dapat mengelak daripada sebarang keputusan mengejut apabila diundi bertemu Brighton.

Manchester City bakal melayan kunjungan Middlesbrough selepas mereka bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sheffield Wednesday - satu lagi pasukan divisyen dua - Ahad lalu.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea bakal menentang Millwall di Stamford Bridge jika skuad yang dikenali sebagai Lions itu menang ke atas Bradford City pada perlawanan ulangan.

Anak buah Jose Mourinho muncul pasukan pilihan untuk layak tidak kira sama ada mereka menentang Millwall atau Bradford walaupun Lions pernah menyingkirkan Chelsea daripada saingan 1995 dan 1985.

Kemenangan 3-0 Sheffield United ke atas QPR Ahad lalu memberikan tiket untuk mereka bertemu Preston di pusingan keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:49 AM