JOYCE
JOYCE
Reuters

London: Penyandang juara Manchester United akan berdepan kelab Liga Kejuaraan Wigan Athletic di Old Trafford pada pusingan keempat Piala FA Inggeris berikutan undian, awal pagi semalam.

Pertembungan itu bermakna bekas pengurus pasukan simpanan kelab itu Warren Joyce akan kembali ke Old Trafford. Joyce meninggalkan United selepas 10 tahun untuk menyertai Wigan, November lalu.

Kelab divisyen dua Wigan bergelut sejak menghasilkan satu daripada kejutan terbesar pertandingan itu apabila mereka mengatasi Manchester City 1-0 pada final untuk memenangi Piala FA pada 2013 dan kini menghuni tangga kedua tercorot Liga Kejuaraan.

Tidak seperti kebiasaan, undian itu belum mengesahkan sebarang pertemuan antara pasukan Liga Perdana sekalipun Arsenal mungkin berdepan Southampton jika Saints menewaskan Norwich City pada aksi ulangan dan Crystal Palace kendalian Sam Allardyce, yang turut perlu bekerja keras selepas seri 0-0 di Bolton, mungkin berdepan Manchester City.

Liverpool, yang diikat tanpa jaringan oleh kelab divisyen empat Plymouth Argyle Ahad lalu, akan menentang Wolves jika mereka menang aksi ulangan manakala pendahulu liga Chelsea akan menanti kunjungan kelab Liga Kejuaraan Brentford, kali kedua dalam tempoh empat tahun pasukan berjiran barat London itu diundi pada pusingan keempat.

Pertembungan jiran setempat London lain menyaksikan Millwall, yang menyingkirkan kelab Liga Perdana Bournemouth pada pusingan ketiga, menentang pasukan Liga Perdana Watford.

Midlands turut menjadi hos aksi setempat getir antara pasukan Liga Kejuaraan yang sedang meningkat Derby County dan juara Liga Perdana Leicester City.

Juara lapan kali Tottenham Hotspur lega dengan undian di laman sendiri menentang kelab divisyen empat Wycombe Wanderers manakala Sutton dan Lincoln, dua pasukan bukan liga yang masih bersaing dalam pertandingan itu, kecewa tidak bertemu lawan dari Liga Perdana jika mereka menang aksi ulangan dengan menentang Wimbledon dan Ipswich.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 9:02 AM