London: Kemenangan Middlesbrough ke atas Manchester City membolehkan mereka bertemu juara bertahan, Arsenal manakala Bradford City yang menundukkan Chelsea, melayan kunjungan Sunderland atau Fulham pada pusingan kelima Piala FA selepas keputusan undian diumumkan kelmarin.

Bradford yang beraksi di divisyen tiga dan Middlesbrough yang bermain di divisyen dua, muncul pasukan yang melakar kejutan terbesar dalam saingan Piala FA baru-baru ini.

Bradford ketinggalan 2-0 ketika menentang pendahulu Liga Perdana Chelsea sebelum bangkit mencatat kemenangan 4-2 manakala Middlesbrough mengatasi City 2-0 di Stadium Etihad.

“Saya lebih suka bertemu Sunderland pada pusingan kelima,” kata Pengerusi Bersama Bradford Mark Lawn.

“Kami akan beraksi di tempat sendiri dan saya yakin mampu menang. Saya fikir tidak ada pasukan suka bermain di tempat kami, tidak kira sama ada Sunderland atau Fulham, sudah tentu mereka tidak suka ke Valley Parade.”

Dalam satu lagi pertemuan, Manchester United bakal bertandang ke Preston North End atau Sheffield United andai mereka berjaya mengatasi pasukan divisyen empat, Cambridge United, pasukan ranking paling rendah yang masih bersaing, selepas pasukan itu mempamerkan aksi cemerlang ketika menentang juara 11 kali itu.

West Bromwich Albion melayan kunjungan West Ham United manakala Leicester City bertandang ke Aston Villa.

Juara tujuh kali, Liverpool atau Bolton Wanderers bermain di Crystal Palace, Blackburn Rovers menanti kehadiran Stoke City yang menundukkan pasukan divisyen tiga, Rochdale 4-1 manakala Derby County menentang Reading. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 6:33 AM