AFP

Manchester: Pengurus Manchester United Louis van Gaal mengulangi azamnya untuk memenangi trofi pada musim sulung selepas pasukannya menyingkirkan Cambridge United pada pusingan keempat Piala FA Inggeris.

United menang 3-0 pada perlawanan ulangan menentang kelab divisyen empat Cambridge di Old Trafford, awal pagi semalam menerusi jaringan Juan Mata, Marcos Rojo dan James Wilson sekali gus menempah pertemuan pusingan kelima dengan Preston North End.

Ketika pencabar Manchester City, Chelsea dan Tottenham Hotspur sudah tersingkir daripada pertandingan itu, United kini pasukan pilihan untuk menamatkan penantian 11 tahun menjuarai pertandingan piala domestik paling terkenal di dunia.

Namun Van Gaal mengakui kunjungan ke Deepdale dua minggu lagi akan menjadi ujian sebenar terutama selepas kemenangan menakjubkan Preston 3-1 pada perlawanan ulangan ke atas pakar pertandingan piala, Sheffield United.

“Setiap kelab mahu menang Piala FA, begitu juga kami,” jelas Van Gaal.

“Kami mesti menundukkan Preston dan ia tidak mudah. Mereka menang di gelanggang lawan ke atas Sheffield dan pasti sukar buat kami menang di Preston North End.

“Saya dengar daripada (penolong pengurus) Ryan (Giggs), Sheffield memang bagus pada pertandingan piala dan Preston mengalahkan mereka 3-1. Preston bukannya lawan yang mudah.”

Mengulas persembahan pasukannya menentang pasukan yang kini 79 anak tangga di bawah United dalam sistem liga Inggeris, pengendali Belanda itu menegaskan: “Saya tidak fikir kami bermain dengan amat bagus.

“Tapi hakikatnya memang selalu sukar menentang pasukan yang bertahan. Kami boleh melakukan lebih baik, tapi saya gembira dengan keputusan ini.

“Cambridge bermain dengan amat bagus, sebuah pasukan yang tersusun dan dengan mentaliti mengagumkan. Penyokong Cambridge juga menakjubkan. Kami sudah melakukan apa yang patut dilakukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 6:52 AM