Preston: Louis van Gaal (gambar) menikmati setiap saat perlawanan Manchester United pada kempen Piala FA musim ini sekalipun berasa ‘satu dunia menentangnya’.

Pasukan Van Gaal berkunjung ke kelab divisyen tiga, Preston North End bagi aksi pusingan kelima awal pagi esok, kali ketiga berturut-turut mereka menentang kelab di luar dua liga utama Inggeris di halaman lawan.

United menundukkan kelab divisyen tiga, Yeovil Town pada pusingan ketiga sebelum memerlukan perlawanan ulangan di Old Trafford untuk menyingkirkan kelab divisyen empat, Cambridge United pada pusingan keempat.

Walaupun menyedari ramai berharap kelab liga bawahan sekali lagi mencetus kejutan besar, pengurus United itu masih gembira dengan peluang bertemu kelab pencetus kejutan dalam pertandingan piala di Deepdale.

“Pertandingan ini menakjubkan,” kata Van Gaal.

“Saya sudah jelaskan kami terpaksa bertembung kelab liga bawahan buat kali ketiga dan anda sedar satu dunia menentang anda, suasana juga tidak menyebelahi anda kerana setiap orang menyokong kelab bukan pilihan.

“Ia lebih sukar diterima, tapi itulah keadaannya. Bagaimanapun peluang untuk meneruskan saingan cerah kerana bermain menentang pasukan berkualiti rendah.

“Tapi anda perlu menundukkan mereka dengan motivasi yang bagus ketika setiap orang menentang anda.”

Ia pertembungan pertama United dan Preston sejak aksi pusingan keempat Piala FA di Deepdale pada Februari 1972. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 6:55 AM