Foto adalah ihsan Mohd Nikman Hashim
Foto adalah ihsan Mohd Nikman Hashim
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Sibu: Penumpang pesawat MH2718 bersyukur kerana insiden pesawat tergelincir di Lapangan Terbang Sibu, malam tadi, tidak membabitkan kecederaan dan kehilangan nyawa.

Mohd Nikman Hashim, 25, berkata walaupun dalam situasi cemas, juruterbang dan anak kapal berjaya mengawal keadaan sehingga pesawat berhenti sepenuhnya.

Menurutnya, dia bersama ayah, Hashim Anyut, 65, dan ibunya, Hasiah Yahud, 58, baru tiba dari Jeddah, pada hari yang sama, selepas menunaikan umrah.

"Ketika kejadian hujan sangat lebat sehingga memaksa juruterbang berlegar di ruang udara Sibu kira-kira 30 minit selepas pendaratan pertama tidak berjaya.

"Saya masih terkejut namun bersyukur kerana pesawat mendarat dan semua penumpang berjaya keluar tanpa kecederaan," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Nikman berkata, dia kini menunggu maklumat terkini daripada MAS untuk mengambil bagasi yang masih di Lapangan Terbang Sibu.

Dalam kejadian 10.17 malam tadi, pesawat Boeing 737-800 yang membawa 61 penumpang dan enam anak kapal tergelincir ketika mendarat berikutan hujan lebat.

MAS bersama pihak berkuasa lapangan terbang kini giat mengalihkan pesawat keluar dari landasan.

Lapangan Terbang Sibu ditutup untuk sementara waktu sehingga 8 malam ini, bagi membolehkan kerja pengalihan pesawat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 12:40 PM