Washington: Pentadbiran Barack Obama mempertimbangkan kemungkinan memotong bantuan kepada Palestin selepas usaha digerakkan untuk membawa kes jenayah perang Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Jen Psaki berkata, Washington mengkaji pakej bantuan kewangan tahunan bernilai AS$440 juta (RM1.5 bilion) kepada penduduk Palestin.

Dalam kenyataan sama, Jen turut mengkritik Tel Aviv kerana membekukan perolehan cukai untuk penduduk Palestin.

“Langkah berkenaan meningkatkan ketegangan di rantau terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan Palestin merujuk kes jenayah perang rejim Zionis ke mahkamah itu dibuat selepas Majlis Keselamatan PBB menolak usul supaya Israel diberi tempoh tiga tahun untuk berundur dari wilayah yang ditaklukinya secara haram di Palestin.

Israel pula menolak sekeras-kerasnya keanggotaan Palestin di mahkamah itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:01 AM