GAMBAR menunjukkan sebuah penempatan Yahudi yang dalam pembinaan di tanah Palestin Tebing Barat.  - Reuters
GAMBAR menunjukkan sebuah penempatan Yahudi yang dalam pembinaan di tanah Palestin Tebing Barat. - Reuters
Agensi

Baitulmaqdis: Israel semalam meluluskan permit membina ratusan rumah di tiga penempatan di Baitulmaqdis Timur, dua hari selepas Donald Trump menjadi presiden Amerika Syarikat.

Rejim itu menjangka presiden baru itu akan menarik balik kritikan pentadbiran Barack Obama terhadap projek seumpama itu.

Projek perumahan yang dibina di kawasan yang penduduk Palestin berharap akan menjadi sebahagian daripada negara mereka, digugurkan daripada agenda majlis perbandaran Baitulmaqdis pada saat akhir Disember lalu atas permintaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bagi mengelak kemarahan pentadbiran Obama.

Kumpulan pelampau Israel menjangka sikap Trump terhadap pembinaan penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang dijajah Israel selepas Perang 1967 akan lebih memihak kepada mereka berbanding Obama.

Pengerusi Jawatankuasa Perancang dan Pembinaan Majlis Perbandaran Baitulmaqdis, Meir Turgeman berkata, pihaknya meluluskan permit membina 560 unit rumah selepas terpaksa menanti sehingga pentadbiran Obama berakhir.

“Saya disuruh menanti sehingga Trump menjadi presiden kerana dia tidak membantah pembinaan penempatan di Baitulmaqdis,” kata Turhreman.

Menurutnya, ratusan lagi rumah menanti untuk diluluskan.

Pihak berkuasa Palestin mengecam langkah itu.

“Kami mengutuk keputusan Israel meluluskan pembinaan kediaman itu,” kata Nabil Abu Rdainah, jurucakap Presiden Mahmoud Abbas.

Di penghujung pemerintahannya, pentadbiran Obama mencetuskan kemarahan rejim Zionis apabila tidak menggunakan kuasa vetonya untuk menolak ketetapan antipenempatan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, membolehkan resolusi itu diluluskan.

Dalam cadangannya yang mencetuskan kemarahan rakyat Palestin, Trump berikrar untuk memindahkan kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Israel menganggap seluruh Baitulmaqdis ibu negaranya, tetapi dibantah masyarakat antarabangsa.

Pihak berkuasa Palestin berkata, tindakan memindahkan kedutaan Amerika itu akan memusnahkan semua peluang damai.

Trump juga melantik duta baru negaranya ke Israel, David Friedman yang memang terkenal menyokong dasar Zionis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 8:22 AM