PESAWAT membawa pulang rakyat Mexico di Israel tiba di lapangan terbang di pinggir Mexico City. FOTO  Reuters
PESAWAT membawa pulang rakyat Mexico di Israel tiba di lapangan terbang di pinggir Mexico City. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Beberapa negara melancarkan operasi untuk menghantar pulang rakyat mereka, manakala lain merancang untuk berbuat demikian dalam beberapa hari akan datang membabitkan ribuan warga asing yang terperangkap dalam situasi perang di Palestin dan wilayah diduduki Israel.

Keganasan sudah meragut ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak pejuang Palestin dan rejim Zionis dalam peperangan sejak pejuang Hamas melancarkan serangan, dibalas tentera Israel.

Duta Kyiv ke Israel Yevgen Korniychuk pada Rabu berkata, Ukraine merancang penerbangan pemindahan pertama dari Tel Aviv pada Sabtu dan kemungkinan diikuti evakuasi kedua yang akan berlepas pada Ahad.

Kanada pada Rabu menghantar dua pesawat tentera untuk memenuhi permintaan yang meningkat untuk menerbangkan warga Kanada untuk pulang ke tanah air dalam beberapa hari akan datang, kata Menteri Luar Kanada, Melanie Joly.

Lebih 4,200 warga Kanada berdaftar dengan perkhidmatan konsular Ottawa di Israel dan 470 orang lagi di wilayah Palestin.

Kementerian Luar Negeri Greece berkata, kira-kira 90 warganya sudah dihantar pulang dari Israel. Satu lagi penerbangan dijadualkan tiba semula di Greece awal pagi Khamis waktu Greece.

Argentina, negara Amerika Latin dengan penduduk Yahudi terbesar, pada Selasa lalu, mula memindahkan lebih 1,200 rakyatnya dari Israel.

Kerajaan Brazil merancang untuk menggerakkan sekurang-kurangnya enam pesawat dalam usaha menghantar pulang dengan pantas mana-mana rakyatnya yang ingin meninggalkan Israel dan Palestin. Ia berkata, kira-kira 14,000 rakyat Brazil tinggal di Israel dan 6,000 lagi rakyatnya di Palestin.

Penerbangan pertama, membawa 211 warga Brazil sebelum subuh pada Rabu dan akan kembali ke Brazil pada hari ini. Ada yang sudah meninggalkan negara ini dengan penerbangan komersial, kata kerajaan Brazil.

Nigeria sudah menghantar lebih 300 rakyatnya pulang ke tanah air selepas mereka melarikan diri ke Jordan dari Israel, kata kerajaan Lagos.

Swiss International Air Lines menghantar pulang 220 warga Switzerland pada Selasa lalu. Penerbangan khas kedua dengan kapasiti 215 tempat duduk pula dirancang pada semalam.

Penerbangan ketiganya dijadualkan pada hari ini, dijangka mendarat di Tel Aviv pada sebelah petang, juga dengan kapasiti 215 tempat duduk.

Kira-kira 28,000 warga Switzerland dan keluarga mereka secara rasmi didaftarkan sebagai tinggal di Israel dan Palestin.

Sepanyol melaksanakan penerbangan dari Tel Aviv, sehingga semalam, dengan 209 orang di atas pesawat, 185 orang Sepanyol dan lain-lain dari negara Eropah dan Amerika Latin.

Penerbangan kedua berlepas dari Tel Aviv pada sebelah petang Rabu membawa 220 penumpang, termasuk 149 warga Sepanyol.

Sebuah penerbangan yang membawa 192 warga Korea Selatan berlepas dari Tel Aviv dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dekat Seoul awal pagi semalam, kata Kementerian Luar Korea Selatan.

Katanya, seramai 30 lagi warga Korea Selatan akan dipindahkan lewat minggu ini dengan penerbangan komersial sambil menambah bahawa 27 lagi yang berada di Israel untuk ziarah Kristian, akan melalui jalan raya ke negara jiran Jordan.

Menteri Luar Perancis Catherine Colonna pula mengumumkan penerbangan khas Air France dari Tel Aviv pada hari ini untuk membantu menghantar pulang mana-mana warga Perancis yang terkandas.

Jerman berkata, ia bekerjasama dengan Lufthansa untuk beberapa penerbangan khas pada hari ini dan esok untuk menghantar pulang warga Jerman.

Kerajaan Iceland mengumumkan akan menghantar pesawat untuk menghantar pulang kira-kira 120 rakyatnya yang terperangkap di Israel.

Norway menganjurkan penerbangan pada petang Rabu untuk rakyatnya yang terperangkap di wilayah Israel dan Palestin. Terdapat kira-kira 500 warga Norway di rantau ini.

Portugal menghantar pulang 152 warganya pada pagi Rabu, serta 14 lagi warga Eropah, dalam pesawat tentera Portugis.

Kerajaan Austria mengumumkan bahawa ia membawa keluar 98 orang pada lewat Rabu iaitu 83 warga Austria dan 15 yang lain terdiri daripada warga Israel, Jerman, Sepanyol, Hungary, Amerika dan Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 10:56 AM