NAZRI, bersama hiadngan yang menjadi pilihan utama pelanggan di warungnya.
NAZRI, bersama hiadngan yang menjadi pilihan utama pelanggan di warungnya.
PELANGGAN teruja dan tidak sabar menikmati sajian yang dihidangkan.
PELANGGAN teruja dan tidak sabar menikmati sajian yang dihidangkan.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Hidangan ais krim kelapa, ABC kelapa, mi kari udang dan mi udang spesial menjadi ‘menu wajib’ pelanggan yang berkunjung ke kedai makan Warung Muda Kelapa (WMK) di Kampung Kempadang, Kuantan, Pahang.

Penulis sendiri gagal mengawal selera sebaik sajian terhidang di depan mata kerana aromanya begitu ‘menggoda’ sementelah udang segar dan telur mata yang ‘duduk’ terletak di atas limpahan mi bahagian permukaan mangkuk sajian.

Kedai makan yang terletak berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Pantai Sepat-Kampung Soi itu pada peringkat awal operasi terkenal dengan ais krim kelapa yang lemak berkrim dan tidak terlalu manis. Kecur air liur dibuatnya terutama ketika musim panas yang dilalui setiap hari ketika ini.

Pengusahanya, Mohd Nazri Razak, 37, berkata aiskrim kelapa adalah gabungan isi kelapa muda yang dikisar bersama air kelapa, santan, gula dan garam dan dinikmati bersama isi kelapa, pulut, jagung, nata de coco, biskut, kacang tumbuk, kacang merah dan jagung.

ABC Kelapa pula dihiasi ‘toping’ yang sama dengan tambahan kacang, cincau, ais krim vanila dan kedua-duanya dijual pada harga RM7 dan RM8 untuk sebiji kelapa selain menawarkan kelapa laici, kelapa susu, laicikang, ‘coconut shake’, ‘coconut shake banana’ dan air buah pada harga antara RM2 hingga RM8 segelas.

Hampir 1,000 biji kelapa mataq, pandan dan kampung diperuntukkan setiap minggu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

WMK yang dibuka enam hari seminggu (Khamis tutup) mulai jam 11.59 pagi hingga 6.59 petang itu turut menyediakan hidangan lain seperti nasi ayam, mi sup, mi kari dan laksa Penang pada harga RM4 hingga RM8 sepinggan.

“Waktu operasinya agak unik tetapi ia sudah menjadi ‘trade mark’ kami sejak dibuka enam tahun lalu dan pelanggan juga maklum mengenainya,” katanya yang memperuntukkan RM15,000 sebagai modal permulaan.

Pelbagai jenis masakan panas berasaskan nasi, mi, mihun, kuetiau pula disediakan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja untuk memenuhi permintaan pelanggan yang kerap bertanya mengenainya.

Kuasa media sosial terutama Facebook membawa rezeki yang ‘bukan sedikit’ kepada WMK apabila pelanggan sejauh Temerloh, Rompin, Gambang dan Kemaman rela memandu kenderaan masing-masing semata-mata untuk menikmati sajian yang ditularkan itu.

Lokasinya yang terletak di tepi jalan berdekatan sekolah, masjid dan kedai runcit serta pantai ditambah pula dengan ‘lambaian’ bendera merah putih ais krim jenama terkenal dan longgokan kelapa muda menjadikan WMK mudah ditemui dan menjadi tempat persinggahan orang ramai terutama waktu makan tengah hari dan selepas waktu kerja.

Menurutnya, sajian terbaru WMK adalah laksa ikan sekor yang semakin mendapat sambutan kalangan pelanggannya.

“Mulanya pelanggan tidak memahami maksud menu itu tetapi selepas diterangkan akan diberikan seekor ikan tambahan tetapi harga yang berbeza, mereka bersetuju untuk mencuba,” katanya.

Menurutnya, bahan yang digunakan untuk menyediakan kuah laksa selain isi ikan adalah campuran bunga kantan, daun kesum, bawang, lada, cili kering, gula dan garam.

“Saya guna isi ikan selayang yang direbus selama 40 minit sebelum dicampurkan dengan bahan mentah yang sudah dikisar, bunga kantan dan daun kesum,” katanya yang memperuntukkan tiga kilogram ikan untuk membuat kuah laksa setiap hari.

Mohd Nazri berkata, mi udang WMK pula berbeza rasa berbanding mi udang Kuala Sepetang yang cukup terkenal di Perak.

“Dari segi penyediaan ia mungkin sama tetapi berbeza dari segi bahan mentah yang digunakan untuk membuat pes mi udang.

“Bahan digunakan adalah campuran kacang tanah gtoreng, udang baring, bawang dan cili kering yang dikisar dan ditumis terlebih dahulu sebelum dicampurkan dengan ubi keledek rebus yang sudah dilenyek, garam, gula dan sedikit serbuk perasa dan dimasak sehingga mendapat kepekatan yang ditetapkan.

“Sebagaimana saya sediakan untuk keluarga, itulah yang saya sajikan kepada pelanggan dan setakat ini tiada lagi komen negatif diberikan kerana selera pelanggan adalah keutamaan kami,” katanya yang menyediakan sehingga 40 mangkuk mi udang sehari dan meningkat ketika cuti hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 11:11 AM