RESTORAN Selera Mangkuk Tokwan menampilkan sajian istimewa patin tempoyak claypot dan patin bakar yang menjadi kesukaan ramai.
RESTORAN Selera Mangkuk Tokwan menampilkan sajian istimewa patin tempoyak claypot dan patin bakar yang menjadi kesukaan ramai.
LEMPENG turut disajikan untuk pelanggan pada waktu pagi.
LEMPENG turut disajikan untuk pelanggan pada waktu pagi.
MOHAMAD Hairi bersama hidangan pilihan pelanggan.
MOHAMAD Hairi bersama hidangan pilihan pelanggan.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Dihidangkan dalam periuk tanah liat dalam keadaan masih menggelegak pasti menjadi daya tarikan pelanggan untuk menikmati sajian ikan patin masak tempoyak di Restoran Selera Mangkuk Tokwan.

Saat menu ‘patin tempoyak claypot’ tiba dalam keadaannya masih mendidih dan berasap di meja, mata tidak melepaskan peluang melihat masakan itu dengan bau tempoyak yang cukup menggoda selera penulis.

Penulis teruja kerana tidak pernah menjamu selera masakan patin tempoyak dalam periuk tanah liat apatah lagi dihidangkan ketika masih mendidih dengan buih-buih berwarna kuning keemasan.

Itu antara keistimewaan ditampilkan pengusaha restoran berkenaan, Mohamad Hairi Abdul Talib, 40, dalam menyajikan sajian tradisional Pahang, sebagai usaha mengetengah dan mempopularkan masakan itu sempena Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017.

Katanya, dia memperuntukkan kira-kira 200 kilogram (kg) ikan patin setiap minggu yang ditempah daripada pengusaha ternakan ikan sangkar di Kampung Lebak, Temerloh, bagi memenuhi permintaan pelanggan dan jumlahnya meningkat ketika musim cuti persekolahan serta perayaan.

“Patin tempoyak claypot menjadi pilihan utama pelanggan berikutan persembahan hidangan ditampilkan berbeza selain rasa asli tempoyak itu sendiri.

“Saya hanya menggunakan tempoyak, lada merah dan lada kecil (cili padi) tanpa bawang, garam dan gula dalam penyediaan masakan kerana bahan itu secara tidak langsung mematikan rasa dan bau asli tempoyak,” katanya ketika ditemui di restorannya di Indera Mahkota 5, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Mohamad Hairi berkata, untuk proses penyediaan patin tempoyak, dia mencari kelainan dengan tidak memasak sepenuhnya ikan berkenaan sebaliknya dibiarkan tiga suku masak dalam periuk besar dan akan dialihkan potongan ikan ke dalam ‘claypot’ sebaik menerima pesanan pelanggan.

“Pekerja hanya perlu didihkan masakan berkenaan sehingga menggelegak dalam tempoh lima minit sebelum dihidangkan.

“Aroma tempoyak saja sudah menggoda apatah lagi jika dimasukkan daun kesum dan bunga kantan untuk bau dan rasa lebih menyengat,” katanya turut dibantu isteri, Siti Azilah Abdul Talib, 32.

Mohamad Hairi yang berasal dari Parit Bilal, Batu Pahat, Johor, berkata, restorannya turut menawarkan menu pais patin bakar yang terlebih dulu diperap bersama tempoyak dan cili yang siap dikisar dalam tempoh 10 minit sebelum dibakar pula antara enam hingga lapan minit.

Menurutnya, kedua-dua masakan itu dijual pada harga RM13 seketul manakala RM15 untuk set terdiri daripada nasi, ikan masak tempoyak atau pais bakar dan air.

Selain dua menu utama, restoran dibuka mulai jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang (Ahad tutup) sejak lapan bulan lalu turut menyediakan sarapan pagi seperti lempeng kelapa, lempeng tepung dan lempeng pisang, nasi lemak, nasi goreng kampung, laksa ikan sekoq, char kuey teow dan pelbagai jenis lauk pauk berasaskan ikan, ayam, daging dan sayuran pada harga RM2 hingga RM17.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 12:00 AM