PEMBURU makanan itu sanggup redah perjalanan jauh untuk merasai keaslian di gerai kegemaran mereka.
PEMBURU makanan itu sanggup redah perjalanan jauh untuk merasai keaslian di gerai kegemaran mereka.
Nurul Husna Mahmud


MAKANAN antara tarikan utama pelancong hingga sanggup merentas negara atau negeri bagi menikmati sajian istimewa.

Bagi pelancong domestik, sajian laksa antara menu tradisi dan ditawarkan dalam pelbagai variasi mengikut daerah atau negeri masing-masing.

Bukan sahaja rasa kuah malah tekstur juga berbeza termasuk jenis laksa digunakan dan perincian lain untuk menambah kelazatan hidangan masing-masing.

Mengenai hidangan laksa utara, rasa masam, kepedasan dan aroma menjadi intipati yang mampu menaikkan selera peminat hidangan itu.

Tidak hairanlah destinasi utara menjadi 'lubuk' bagi pemburu sajian tradisi itu sehingga setiap lokasi yang tular pasti dikunjungi untuk merasai sendiri kelainannya.

Berikut beberapa lokasi yang mesti dikunjungi peminat hidangan terbabit:

KUALA Kangsar bandar yang memiliki pelbagai variasi laksa.
KUALA Kangsar bandar yang memiliki pelbagai variasi laksa.

1. Laksa Kuala Kangsar, Perak

Kuala Kangsar bukan sekadar dikenali sebagai bandar diraja di Perak, malah ia antara 'port' menarik bagi hidangan laksa utara.

Versi laksa asli Kuala Kangsar adalah laksa tepung beras digabungkan dengan kuah yang lebih cair.

Bagi sajian ini medan selera yang terletak di Lembah Sungai Perak di bandar itu antara lokasi popular menyajikan sajian terbabit.

Selain versi laksa terbabit terdapat juga beberapa lokasi sekitar bandar menyajikan sajian laksa dengan mengetengahkan idea tersendiri.

Ini termasuklah Laksa Lubuk dan Laksa Pokok Limau yang menyajikan laksa bersama telur goreng yang rangup.

Boleh dikatakan apabila hujung minggu, lokasi ini menjadi perhatian peminat hidangan berkenaan dari negeri lain.

UDANG satu kelainan pada laksa Kuala Sepetang.
UDANG satu kelainan pada laksa Kuala Sepetang.

2. Laksa udang Kuala Sepetang, Taiping, Perak

Bagi peminat hidangan laksa utara, versi laksa dari Kuala Sepetang mesti dicuba kerana menampilkan udang sebagai hiasan.

Rasa manis, udang tidak tenggelam dek rasa ikan dalam hidangan itu. Sebaliknya udang memberi keseimbangan dan meningkatkan rasa manis sebaik dinikmati dalam laksa.

Antara port tersohor untuk menikmati sajian itu adalah Restoran Mee Udang MakJah yang turut menyajikan sajian popular tempatan, mi udang.

Sambil menikmati panorama petang di Kuala Sepetang, sajian itu melengkapkan lagi percutian ke perkampungan nelayan berkenaan.

LAKSA arang tarikan di Gurun Kedah.
LAKSA arang tarikan di Gurun Kedah.

3. Laksa arang, Gurun, Kedah

Bagi yang tidak pernah merasai sajian dimasak menggunakan kaedah lama iaitu dapur kayu atau arang, di Gurun, Kedah terdapat satu lokasi menyediakan sajian terbabit.

Penyediaan laksa menggunakan arang memberi kelainan terhadap aroma dan rasa masakan di restoran Maksu Laksa Dapur Arang.

Difahamkan ada peminat sajian itu sanggup merentasi dari Selatan ke Utara bagi menikmati sajian terbabit.

Pengunjung boleh memilih untuk menikmati sajian bersama otak udang ataupun tidak. Jika hujung minggu dan musim cuti persekolahan, restoran terbabit sentiasa dipenuhi pengunjung.

Restoran ini yang beroperasi setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 10 pagi hingga 7 petang turut popular dengan sajian lain seperti mi rebus dan laici kang.

LAKSA ikan sekoq sajian tular di Langkawi, Kedah.
LAKSA ikan sekoq sajian tular di Langkawi, Kedah.

4. Laksa ikan sekoq, Langkawi

Peminat sajian laksa pastinya tidak boleh lupa dengan hidangan laksa ikan sekoq sangat tersohor di Langkawi.

Kedudukan 'port' makan ini cukup strategik iaitu berhampiran dengan lapangan terbang.

Perjalanan hanya mengambil kira-kira 10 minit dengan kenderaan sebaik keluar dari lapangan terbang. Malah jika menggunakan khidmat teksi atau e-hailing, tambangnya sekitar RM5 hingga RM8 sahaja.

Tidak perlu bimbang dengan pengunjung yang ramai atau menu terbabit habis kerana terdapat pelbagai pilihan gerai iaitu trak makanan yang menawarkan sajian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 6:20 AM