CHICKEN grill dengan sos lada hitam menggunakan resipi sendiri cukup menggiurkan.
CHICKEN grill dengan sos lada hitam menggunakan resipi sendiri cukup menggiurkan.
KACANG pool haji versi Kuantan punya cita rasa tersendiri.
KACANG pool haji versi Kuantan punya cita rasa tersendiri.
HAFFIFI (kanan) dan Aminnurrashid bersama hidangan menarik di The Broadway Cafe.
HAFFIFI (kanan) dan Aminnurrashid bersama hidangan menarik di The Broadway Cafe.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Kesempatan menjamu selera di kafe jalanan, The Broadway Cafe berhampiran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, baru-baru ini menemukan penulis dengan sajian kacang pool haji yang popular di Johor.

Hidangan berasaskan kacang pool yang dimasak bersama daging cencang, dihiasi dengan bawang, cili potong dan potongan limau kasturi serta telur mata itu sememangnya cukup menyelerakan.

Pemilik The Broadway Cafe Haffifi Hafidz Norrahaman, 33, berkata, juadah popular di Johor ini juga boleh dinikmati bersama kepingan roti bakar dan enak dimakan ketika masih panas.

“Set kacang pool haji versi Pahang menjadi pilihan pelanggan terutama yang berasal dari Johor dan dijual RM6 satu set.

“Idea menyediakan hidangan ini datang daripada isteri (Faradilla Aini Ahmad Azman, 35,) yang berasal dari Johor,” katanya.

Setiap hari, Haffifi menyediakan dua kilogram kacang pool untuk dimasak bersama tiga kilogram daging cencang, air, campuran herba terpilih, garam dan gula sehingga mendapat kepekatan diperlukan.

Menurutnya, pada peringkat awal, dia menggunakan sepenuhnya resipi tradisional Johor yang rasanya agak manis, tetapi kurang mendapat sambutan kerana tidak begitu menepati selera penduduk pantai timur.

“Saya kemudian olah semula resipi dengan menambah rempah sup dan rempah beriani bagi menimbulkan sedikit rasa pedas dan ternyata ia lebih diminati pelanggan,” katanya.

Kafe itu juga menawarkan nasi lemak pandan Broadway berwarna hijau muda pada harga RM3.50 manakala tambahan ayam bakar berempah RM5.50 satu set.

“Saya menggunakan pati perahan daun pandan yang dikisar, bukannya pewarna bagi menimbulkan bau wangi dan warna hijau muda yang lebih asli.

“Sambal tumis ikan bilis pula saya guna bawang holland yang dikisar untuk memekatkan kuahnya,” katanya.

Berkonsepkan kafe jalanan, The Broadway Cafe tidak menyediakan banyak pilihan, tetapi dengan sajian istimewanya, ia berjaya memikat pelanggan menjamu selera di situ.

Kafe yang beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu mulai jam 5.30 petang hingga 12 tengah malam itu juga menyediakan variasi hidangan barat termasuk lamb grill, chicken grill, chicken chop, Broadway beef burger, Broadway chicken burger dan meatball berharga antara RM5 hingga RM17 setiap set.

Bagi memastikan sajian barat itu mendapat sambutan pelanggan, Haffifi menyediakan daging burger lembu dan ayam yang diproses sendiri.

“Untuk burger daging saya gunakan daging lembu segar yang dikisar bersama daun pasli, basil, herba, lada hitam, serbuk perasa, gula dan garam manakala burger ayam hanya menggunakan ayam segar yang dikisar bersama gula, garam dan serbuk roti.

“Kepingan daging yang siap diproses akan disejuk beku selama sejam sebelum disediakan,” katanya.

Haffifi yang memiliki diploma dalam bidang kejuruteraan audio daripada Ocean Institute of Audio Technology, Kuala Lumpur berkata, kafe jalanan yang diuruskan bersama rakan kongsi Mohd Aminnurrashid Mohd Abdah, 33, menjadi tumpuan golongan muda ‘lepak santai’ sambil menjamu selera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 11:05 AM