Fiza Thomas tak kisah diberi watak pelaon pembantu asal diberi kepercayaan. FOTO Asyraf Hamzah
Fiza Thomas tak kisah diberi watak pelaon pembantu asal diberi kepercayaan. FOTO Asyraf Hamzah
Norhayati Nordin


HAMPIR lima tahun berusaha membina nama dan ketengahkan bakat seni, kini pelakon Fiza Thomas mengakui kegigihannya itu semakin membuahkan hasil.

Biarpun tidak pernah dibelenggu gosip dan cerita sensasi, ia diterima Fiza, 27, dengan lapang dada. Katanya, dia tidak kisah harus mengorak langkah perlahan-lahan.

"Gosip itu ada baik dan buruknya, Saya tak nafikan, dengan gosip yang timbul turut membantu menaikkan nama dan kerjaya seseorang anak seni dengan cepat.

"Namun, tidak terkecuali ada juga gosip yang menjatuhkan. Untuk saya, jika ia gosip yang baik boleh saja diterima kerana membawa kebaikan.

"Tetapi, terus-terang saya mengaku tidak sanggup untuk menghadapi gosip yang menjurus negatif, terutama membabitkan maruah diri dan keluarga," katanya.

Fiza atau nama sebenarnya Nur Hafizah Longkip@ Thomas mula mengorak langkah menceburi kerjaya seni apabila menyertai Akademi Fantasia (AF) 2016.

Bagaimanapun, dalam beberapa tahun ini rezekinya lebih dilihat menyerlah sebagai pelakon. Apatah lagi, selepas dia muncul dalam iklan PETRONAS, Rendang SoRaya sempena Aidilfitri, tahun lalu.

Berasal dari Sarawak, Fiza juga aktif beraksi di pentas teater dan tahun lalu dia pernah terbabit membuat pementasan hebat dalam OlaBola Merdeka Tour.

Meskipun sudah banyak drama dibintangi, paling membuatkan Fiza terkesan dan dilihat begitu membantu melakar namanya dalam lakonan adalah karya Syurga Untukmu.

Drama yang dsiarkan slot Samarinda TV3 pada Julai lalu itu diakui membawa impak amat positif buatnya. Kata Fiza, walaupun melakonkan watak pembantu tetapi karakter Jasmin itu diingati penonton.

"Sebenarnya drama Syurga Untukmu adalah lakonan pertama saya disiarkan oleh TV3. Sebelum ini, kebanyakan drama yang saya bintangi ditayangkan stesen TV lain.

"Ketika mendapat peluang berlakon drama untuk disiarkan TV3, saya menanam tekad dalam diri mahu menunjukkan bakat lakonan dimiliki sebaik mungkin.

"Saya tak kisah pun watak pembantu itu, kerana apa yang paling utama adalah peluang. Saya sedar bukan mudah untuk dapat peluang berlakon drama TV3.

"Saya anggap rezeki apabila diberi kepercayaan salah satu watak untuk drama Syurga Untukmu itu. Saya harap selepas ini akan dapat lebih banyak peluang lagi," katanya.

Menurut Fiza, dia sangat berterima kasih kepada syarikat produksi Sha's Media kerana sudi dan yakin memberikan kepercayaan kepadanya untuk beraksi dalam drama berkenaan.

Apapun, antara pelakon lain yang membintangi drama Syurga Untukmu sebanyak 15 episod itu ialah Fahrin Ahmad, Datin Diana Danielle, Julia Farhana Marin, Yuna Rahim, Datuk Fizz Fairuz dan Noralbaniah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 6:22 AM