PERMAINAN yang dikendalikan jururawat menjadi terapi paling berkesan dan pengubat kegembiraan warga emas.
PERMAINAN yang dikendalikan jururawat menjadi terapi paling berkesan dan pengubat kegembiraan warga emas.
PENGHUNI tekun bermain congkak bersama jururawat.
PENGHUNI tekun bermain congkak bersama jururawat.
JURURAWAT meluangkan masa beriadah bersama penghuni ZACC.
JURURAWAT meluangkan masa beriadah bersama penghuni ZACC.
Siti Zarinah Sahib


Stigma masyarakat, anak yang menghantar ibu bapa ke pusat jagaan warga emas sering dikatakan sebagai tidak baik atau tidak sepatutnya berlaku. Namun daripada sisi berbeza, sedarkah orang tua memerlukan pendekatan dan pengurusan diri berbeza? Ini terutama bagi yang memerlukan penjagaan kesihatan lebih teliti dan mendalam, sedangkan ia tidak dapat dilakukan pasa­ngan dan anak.

Sebagai contoh, bagi pesakit strok, Parkinson, Alzheimer atau nyanyuk memerlukan pendekatan penjagaan lebih kompleks membabitkan fizikal, mental dan emosi yang rata-rata tidak dapat dilakukan anak sekiranya mereka tidak dilatih dari segi pengurusan perubatan termasuk jadual pemberian ubat, suntikan, jenis makanan dan senaman diperlukan.

Menurut Pengarah Urusan Zara Aisyah Care Centre (ZACC) Wan Salbiah Mior Yahya, kebanyakan anak mahupun pasangan ingin memberikan yang terbaik kepada ibu mereka.

Terdapat kekangan yang menyebabkan golongan itu tidak berupaya menguruskannya secara bersendirian terutama ibu yang koma, nyanyuk atau hilang upaya untuk bergerak.

“Warga emas ini juga bukan sekadar diselia menerusi sentuhan fizikal seperti memandikan, menyediakan tempat tinggal yang selesa dan menyuapkan makanan tetapi membabitkan keperluan emosi seperti sentuhan, belaian dan ucapan berhemah serta lembut.

“Namun tidak semua penjaga mempunyai kriteria diperlukan. Tekanan kerja, kurang perhatian dan pengetahuan menyebabkan anak tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan.

“Dalam hal ini, sangat penting mereka dihantar kepada pihak yang mampu menguruskan diri mereka secara lebih eksklusif dan berhemah agar kesihatan mereka terjaga dan dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih positif,” katanya.

ZACC yang dibuka pada April 2016 ini ialah pusat jagaan orang tua yang beroperasi secara holistik dan geriatrik, menyediakan pengurusan perubatan lebih teliti.

Jelas Wan Salbiah, fungsi inilah membezakan ZACC dengan pusat penjagaan orang tua lain yang hanya menekankan tempat tinggal dan penjagaan luaran semata-mata.

“Sebelum membuka ZACC saya sendiri pernah mengunjungi beberapa pusat penjagaan orang tua yang dirasakan terlalu daif dan tidak menyediakan keperluan selesa. Dengan niat ingin menyediakan keperluan yang diinginkan warga emas, saya tampil dengan pusat jagaan ini yang menyediakan persekitaran lebih eksklusif dan bersesuaian dengan keinginan mereka,” katanya.

Terletak di Seksyen 11 Shah Alam, banglo dua tingkat ini menempatkan 25 warga tua lelaki dan wanita yang mempunyai latar belakang berbeza terdiri daripada mereka yang menghidap penyakit strok, Parkinson dan nyanyuk.

Sebelum dihantar, mereka melalui ujian saringan perubatan dan menetap selama seminggu untuk tempoh percubaan bagi membolehkan pemantauan dilakukan.

“Laporan kesihatan pesakit sangat penting bagi menentukan warga emas ini bukanlah menghidap penyakit berjangkit atau agresif. Selepas seminggu kami menilai tahap kesihatan mereka barulah mereka diterima sepenuhnya,” katanya.

Katanya, pada penghujung usia, warga tua biasanya sangat sensitif, memerlukan lebih perhatian, ingin berkomunikasi dengan orang sekeliling dan inginkan belaian daripada mereka yang berada di sisi mereka.

Memahami hal ini, ZACC menyediakan jururawat terlatih dalam bidang perubatan dan menjalani latihan yang lebih intensif khusus untuk pusat jagaan terbabit.

Ini kerana mereka perlu berhadapan warga tua yang ada kalanya mengalami masalah pelupa, tidak mampu bergerak dan tidak boleh bercakap. Dari segi yang lain, warga emas ini bukan saja memerlukan penjagaan fizikal tetapi yang lebih penting, emosi.

Jika ditanya manakah yang lebih penting antara ubat dan menemani mereka berjalan, sudah pasti mereka membuat pilihan kedua.

“Sebab itu kami menyediakan keperluan yang diinginkan warga tua. Ia bukan setakat perubatan sebaliknya lebih meluas iaitu membabitkan perasaan. Dalam erti kata lain, setiap jururawat turut menjadi jururawat hati di sini,” katanya.

Aktiviti penuhi masa

Oleh kerana kebanyakan warga emas ialah penghuni tetap, mereka disantuni dengan pelbagai aktiviti bagi mengisi kekosongan jiwa. Seawal jam 4 pagi mereka sudah bangun, diberikan ubat, membersihkan diri, solat berjemaah dan membaca al-Quran.

Sarapan pula disediakan seawal jam 7 pagi. Bagi yang mampu menguruskan diri, latihan senaman ringan akan diberikan.

“Sekali-sekala mereka dibawa ke kedai atau pusat beli-belah. Bagi yang gemar memasak, aktiviti seperti membakar kek dan biskut dapat menghilangkan rasa bosan serta memberi peluang mereka berkomunikasi antara satu sama lain.

“Bagi warga emas Muslim, kuliah agama diadakan pada waktu pagi dan petang. Kesibukan dengan pelbagai aktiviti menyebabkan mereka tiada masa memikirkan mengenai kesakitan yang dialami,” katanya.

Kata Wan Salbiah, sebelum membuat keputusan membuka ZACC, dia sudah menjalankan banyak kajian mengenai sifat dan ragam warga emas. Malah dia sendiri mempunyai ibu dan sangat memahami naluri orang tua ini tidak sama antara satu sama lain. Ada yang kembali menjadi bayi, gemar dimanjakan dan bercakap seperti kanak-kanak. Sekiranya penjaga tidak memahami, bagaimana mereka mampu menguruskannya?

Berdasarkan maklum balas mereka, aktiviti yang diadakan pada setiap hari mendatangkan kesan positif, misalnya memasak, berkebun dan melukis yang membolehkan mereka berbual antara satu sama lain. Bagi warga emas, berkomunikasi ialah satu bentuk terapi yang menyebabkan mereka tidak memikirkan masalah atau kesakitan.

Selain persekitaran yang selesa, kemahiran menguruskan pesakit juga menjadi perkara penting yang sering ditekankan kepada jururawat.

“Saya sering mengatakan kepada jururawat agar bekerja seikhlas hati. Rawat pesakit seperti ibu bapa sendiri. Berikan mereka bukan sekadar rawatan tetapi belaian emosi iaitu ubat paling berkesan terutama untuk warga tua.

“Bercakap dalam nada yang lembut, sentiasa bergurau dan bertanya khabar. Pelukan dan sentuhan sentiasa diamalkan supaya mereka lebih sihat dan yakin menempuh kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya yang menyediakan waktu kerja mengikut syif kepada jururawat supaya mereka mendapat waktu rehat sepenuhnya.

Tidak hanya ‘terkurung’ di dalam rumah, ZACC memberi peluang kepada anak atau pasangan melawat ibu bapa atau pasangan mereka pada setiap masa. Mereka juga bebas membawa pulang ibu ke rumah atau membawa bersiar-siar di luar. Dengan cara ini hubungan antara keluarga dapat dikekalkan.

Selain Shah Alam, ZACC turut dibuka di Johor Bahru. Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai ZACC boleh melayari Facebook dan Instagram zaraaisyahcarecentre.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 11:44 AM