KEADAAN penghuni di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong.
KEADAAN penghuni di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong.
KEADAAN penghuni di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong.
KEADAAN penghuni di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong.
ABDUL Munir buat lawatan dan menyampaikan sumbangan di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas.
ABDUL Munir buat lawatan dan menyampaikan sumbangan di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


"Saya pun tak tahu di mana silapnya anak-anak zaman ini. Sama ada didikan ibu bapa tidak betul, pergaulan tidak elok atau kesilapan dalam hubungan suami isteri hingga anak tergamak mengabaikan insan yang melahir dan membesarkan mereka."

Demikian kata pengasas Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong Muji Sulaiman mengenai trend anak mengabaikan ibu bapa yang makin menular sejak kebelakangan ini.

Lebih membimbangkan, katanya, jumlah Si Tanggang moden terus bertambah saban tahun hingga ada yang enggan menjenguk ibu bapa meninggal dunia di pusat jagaan itu walaupun berjaya dihubungi.

“Kami tiada pilihan. Apabila tidak dituntut atau waris enggan bertanggungjawab, kami uruskan pengebumian mereka dengan ikhlas sebagai bakti terakhir kami kepada mereka,” katanya.

Berikut beberapa kes yang pernah berlaku di pusat jagaan itu.

KES 1

Pak Cik Amran dibuang anaknya bagaikan kucing kurap di tepi jalan berhadapan Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong, pada awal pagi.

Dia ditemui sehelai sepinggang pada waktu Subuh ketika penghuni rumah kebajikan itu bersiap untuk menunaikan solat.

Selama dua tahun, Amran yang menghidap angin ahmar atau strok dan badannya dipenuhi kudis mendiami rumah jagaan itu.

Hingga kudisnya sembuh selepas dirawat, dia menghembuskan nafas terakhir di situ, tiada seorang pun anaknya datang menjengah.

KES 2

Mak Cik Zabedah juga mengalami angin ahmar. Dia ditemui di depan rumah jagaan itu sekitar 5 pagi dengan beberapa beg berisi pakaian.

Hampir sembilan bulan mendiami rumah jagaan itu, akhirnya anak-anaknya akur untuk mengambil kembali ibu tua itu selepas Muji dapat berhubung dengan mereka selepas puas berusaha.

KES 3

Dikenali sebagai Mak Cik Mami, wanita berusia 90 tahun ini turut ditinggalkan anaknya dengan beberapa beg pakaian. Kini, sudah lapan tahun dia tinggal di rumah jagaan itu dengan tubuh yang sihat tetapi nyanyuk.

Selama itu juga, anak Mak Cik Mami tidak pernah datang menziarahi ibu mereka.

KES 4

Seorang wanita warga emas dihantar anaknya ke rumah jagaan itu sebaik keluar dari Hospital Putrajaya kerana menghidap kanser.

Dia dijaga di situ selama lebih dua tahun tanpa sekali pun dijenguk anaknya sehinggalah meninggal dunia.

Sejurus menghembuskan nafas terakhir, Muji menghubungi anaknya memaklumkan khabar ‘duka’ itu. Bagaimanapun, si anak memberitahu ‘tak dapat datang’ untuk menatap wajah ibunya buat kali terakhir, apatah lagi mahu menguruskan jenazahnya.

Kerja amal Muji, 56, yang juga bekas jururawat hospital kerajaan dan berasal dari Pontian, Johor, bermula pada tahun 2000 apabila tidak sampai hati melihat warga emas ditinggalkan begitu sahaja selepas dibenarkan keluar dari wad selepas menerima rawatan.

Kasihan melihat anak tidak menjemput ibu bapa, beliau membawa mereka pulang ke rumahnya di Putra Perdana, Putrajaya.

Bermula dengan lapan katil, ia kemudian mencecah 25 penghuni.

Beliau seterusnya mengambil inisiatif untuk berjasa kepada orang tua malang terbabit dengan menubuhkan pusat jagaan berkenaan pada tahun 2003 apabila penghuninya bertambah kepada 34 orang.

Selepas 13 tahun beroperasi, seramai 50 warga emas menghuni rumah itu dalam satu-satu masa.

Sebanyak 80 peratus penghuni mempunyai sejarah perubatan berkait penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Ada juga yang mengalami strok tetapi tiada waris atau tidak dituntut ahli keluarga selepas keluar dari hospital menyebabkan mereka dihantar ke rumah jagaan itu kerana tiada siapa mahu menjaga.

“Saya terkilan kerana kebanyakan anak langsung tidak mempedulikan kebajikan ibu bapa yang ditinggalkan di sini, jauh sekali mahu membayar perkhidmatan yang kami sediakan.

“Ada sesetengah penghuni mempunyai pencen tetapi si anak tidak menyalurkan wang itu ke rumah jagaan ini yang boleh digunakan untuk merawat ibu bapa mereka. Sebaliknya wang pencen itu digunakan anak untuk kegunaan sendiri.

“Ibu bapa terbabit tahu perkara itu tapi tak mampu menghalang sikap anak mereka,” katanya.

Ditanya kenapa beliau sanggup berkorban masa, tenaga dan wang untuk kebajikan golongan itu, Muji berkata:

“Hayat orang tua bukan panjang mana. Apa salahnya untuk beberapa tahun yang pendek itu kita gembirakan mereka dengan menyediakan kelas mengaji, belajar agama dan solat berjemaah yang dipimpin imam di sini.

“Bagi mengisi sisa-sisa hayat, mereka dapat melengkapkan diri dengan ilmu agama supaya dapat mendekatkan diri kepada Ilahi, sekali gus melupakan kesedihan kerana dipinggirkan anak-anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 12:24 PM