Reuters

Miami: Johanna Konta (gambar) muncul pemain wanita Britain pertama yang layak ke final Terbuka Miami selepas dia mengalahkan bintang Amerika Syarikat Venus Williams 6-4, 7-5 awal pagi semalam.

Ketika jam menunjukkan waktu melepasi 12 malam serta ramai peminat meninggalkan tempat duduk masing-masing, Johanna akhirnya mengetepikan cabaran Venus di gelanggang keras Crandon Park.

Pilihan ke-10 itu akan bertemu Caroline Wozniacki di final selepas bintang Denmark yang juga pilihan ke-12 itu menang 5-7, 6-1, 6-1 pada satu lagi aksi separuh akhir menentang pilihan kedua Karolina Pliskova.

“Terima kasih kepada peminat yang setia menunggu perlawanan kami tamat. Selamat pagi,” kata Johanna ketika ditemubual di luar gelanggang sejurus tamat perlawanan.

“Secara jujur, ia sangat sengit. Bukan mudah untuk saya memperoleh mata. Saya boleh dianggap bernasib baik dapat mengambil kesempatan yang terhidang. Jika tidak, keputusan perlawanan ini pasti berbeza.”

Ini adalah aksi final kedua Johanna musim ini selepas pemain nombor 11 dunia itu memenangi Kejohanan Antarabangsa Sydney, Januari lalu. Dia akan menentang Caroline buat kali kedua selepas berjaya mengatasi pemain itu di Terbuka Australia tahun ini.

Johanna menjangkakan pertemuan dengan Caroline kali ini pasti sengit apatah lagi selepas bintang Denmark itu kelihatan cukup gagah ketika menundukkan Karolina.

Kemenangan Caroline itu pantas melunaskan dendam ketika ditundukkan Karolina di final Terbuka Doha bulan lalu.

“Setiap hari, saya berusaha menguatkan tahap kecergasan. Ia memainkan peranan penting dalam permainan saya,” kata Caroline ketika ditemubual.

“Ia perlawanan yang menuntut kekuatan mental. Mendahului dua atau tiga set pertama sebelum tewas pasti mengganggu tumpuan tetapi saya bermula baik di set kedua dan ia melonjakkan semangat juang saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 7:34 AM