Karolina (kanan) ketepikan cabaran Ashleigh pada aksi suku akhir perseorangan wanita di Kejohanan Tenis Terbuka Australia. FOTO Agensi.
Karolina (kanan) ketepikan cabaran Ashleigh pada aksi suku akhir perseorangan wanita di Kejohanan Tenis Terbuka Australia. FOTO Agensi.
AFP

Melbourne: Karolina Muchova bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk mengejutkan pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty sekali gus mara ke separuh akhir Terbuka Australia.

Pemain pilihan ke-25 dari Republik Czech, hampir tersingkir selepas Ashleigh menguasai perlawanan pada set pertama, tetapi selepas perlawanan bersambung Karolina bangkit dengan aksi bertenaga untuk menang 1-6, 6-3, 6-2 di Rod Laver Arena, sebentar tadi.

Karolina akan berdepan Jennifer Brady dari Amerika Syarikat untuk memburu tempat ke final.

"Saya rasa hilang tumpuan sedikit pada penghujung aksi set pertama. Dia beraksi tanpa melakukan kesilapan," kata Karolina, yang mencatat pencapaian terbaik pada Grand Slam terdahulu dalam kelompok lapan terakhir di Wimbledon pada 2019.

"Ia perlawanan yang sangat sukar dan saya hilang tumpuan seketika di gelanggang dan saya rasa pening jadi saya berehat sebentar.

"Ia membantu saya. Saya cuba kembalikan rentak permainan, beraksi dengan rali pantas jadi kami tidak bermain rali panjang ketika di set pertama dan ia berjalan lancar."

Kebangkitan Karolina memusnahkan harapan pilihan utama Ashleigh untuk menjadi pemain tuan rumah pertama menjuarai Terbuka Australia dalam tempoh 43 tahun selepas, Chris O'Neil melakukannya pada 1978.

Ashleigh juara Terbuka Perancis 2019, memulakan kempen musim ini dengan cemerlang memenangi aksi pemanas badan Yarra Valley Classic dan tidak tewas dalam pertarungan sebelum berdepan Karolina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 12:12 PM