AFP

Miami: Pemain nombor dua dunia Maria Sharapova tersingkir daripada kejohanan tenis Terbuka Miami dan lebih mengecewakan, dia ditumbangkan pemain nombor 97 dunia, Daria Gavrilova 7-6 (7/4), 6-3.

Kejutan terbesar kejohanan gabungan WTA dan ATP Masters itu berlaku selepas sejam 49 minit dan menandakan kekalahan paling buruk buat juara lima Grand Slam itu.

“Ini adalah sukan dan di dalam sukan, kekalahan sebegini adalah biasa,” kata Maria. “Sudah tentu ia sedikit mengejutkan kerana saya sendiri menjangkakan bakal keluar sebagai pemenang.

“Tetapi, itulah sebabnya mengapa kita bermain dalam satu-satu permainan - anda masih perlu beraksi tidak kira sama ada anda pilihan atau tidak.

“Hari ini saya seolah-olah bukan pilihan,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu yang tidak pernah menjulang piala di Miami walaupun lima kali bermain di final.

Daria yang menyelitkan namanya di dalam senarai 100 pemain terbaik dunia sejak Isnin lalu, seakan tidak percaya dengan kejayaannya itu.

“Saya masih lagi terasa seperti bermimpi,” kata Daria yang berkata dia menanam azam untuk mengatasi Maria sejak menyaksikan bintang itu mengalahkan Serena Williams di final Wimbledon 2004.

Kekalahan mengejutkan itu membuka peluang buat pemain Romania Simona Halep untuk memintas kedudukan Maria di tangga kedua dunia.

Maria tewas set pembukaan selepas hampir sejam dan ketinggalan 1-4 di belakang bekas pemain remaja dunia terbaik itu pada set kedua.

Maria cuba bangkit, tetapi Daria pantas mengemaskan aksi untuk mengekangnya dan berjaya mendahului 5-3 sebelum tenang menamatkan saingan, sekali gus menjadi kemenangan terbesar kariernya setakat ini.

“Saya berjaya mengekalkan tumpuan dan melakukan yang terbaik,” kata Daria. “Saya yakin dengan kebolehan diri sendiri. Selepas tamat permainan, saya menitiskan air mata gembira.”

Maria pula menganggap dia terlalu terikut-ikut dengan rentak permainan lawan terutamanya di set kedua.

“Ada ketikanya saya rasa seperti mampu bangkit mengejar, tetapi sebenarnya tidak berupaya berbuat demikian,” kata Maria. “Saya meletakkan diri dalam keadaan sukar kerana terlalu jauh ketinggalan.”

Daria menetap dan berlatih di Australia. Kejayaannya ke atas Maria adalah yang pertama ketika menentang pemain di dalam kelompok 10 terbaik dunia. Sebelum ini, dia tidak pernah mengalahkan pemain yang berada dalam kelompok 35 terbaik.

Sementara itu, dalam perlawanan lain, pemain nombor empat Caroline Wozniacki menang 6-0, 6-1 ke atas Madison Brengle manakala pilihan ketujuh Agnieszka Radwanska mengalahkan Anna Schmiedlova 6-4, 7-5.

Pilihan kelapan Ekaterina Makarova, pilihan kesembilan Andrea Petkovic, pilihan ke-12 Carla Suarez Navarro, pilihan ke-15 Karolina Pliskova dan pilihan ke-16 Venus Williams semuanya mara ke pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:11 AM