ADAKAN program Smart Usrati dengan singgah masjid di seluruh negara.
ADAKAN program Smart Usrati dengan singgah masjid di seluruh negara.
Nor Akmar Samudin


Pengacara program Assalamualaikum yang bersiaran di TV AlHijrah, Ahmad Fadzli Abd Aziz atau Fadzli, semakin drastik bergerak untuk merealisasikan segala perancangan yang sudah diatur sepanjang tahun ini.

“Saya tak sangka selepas bergerak solo, saya didatangi pelbagai peluang untuk memperbaiki diri dan kerjaya,” katanya.

Mulai awal tahun lalu, Fadzli bersama pasukannya mengadakan program Smart Usrati dengan singgah ke masjid di seluruh negara bagi mengadakan ceramah keibubapaan.

Di samping itu, Fadzli juga banyak memberi tumpuan kepada latihan dan motivasi serta dalam perancangan menerbitkan album khas bagi membantu masyarakat memotivasikan diri mereka.

Perkembangan lain, pada Mei ini, Fadzli akan memperkenalkan satu lagi modul latihan iaitu mengenali personaliti dan potensi diri melalui cap jari.

“Modul itu boleh diaplikasikan kepada kanak-kanak sehinggalah golongan dewasa. Melalui cap jari, ibu bapa boleh mengenal pasti potensi anak, tahap kecergasan dan pekerjaan apa yang sesuai dengan mereka,” jelasnya yang juga duta produk minda yang diusahakannya sendiri iaitu Brain Energy dan Hi-T.

Bengkel Teknik Belajar

Fadzli berkata, esok (2 April), dia akan mengadakan bengkel Teknik Belajar Last Minute (Super Student Seminar) di Auditorium DBKL, dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Pengisian bengkel itu termasuk teknik belajar ‘Sub Conscious Mind’, teknik menguruskan tekanan secara berkesan dan teknik belajar berdasarkan fungsi otak. Kepada yang berminat, boleh e-mel kepada [email protected] atau layari www.bijaksanabijaksini.com.my atau layari Facebook bijaksanabijaksinihq.

Dalam pada itu menjelang Ramadan ini, Fadzli bekerjasama dengan menganjurkan pakej umrah ziarah Ramadan, bermula pada 23 Mei hingga 2 Jun.

“Saya sudah lama berhasrat mengerjakan umrah pada Ramadan untuk menikmati keindahan berpuasa di Tanah Suci. Pakej umrah itu terbuka kepada semua peminat yang ingin turut serta.

“Insya-Allah, kami akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah umrah bagi memastikan mereka dapat menjalani ibadah dengan sempurna di sana,” katanya.

Kepada yang berminat menyertai pakej umrah ini, bolehlah e-mel kepada [email protected] atau layari Facebook, Trip Muslim Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 2:20 AM