YEN Ming Lee (kiri) bersama Pasukan PolicyStreet.com mudahkan urusan insurans di platform digital.
YEN Ming Lee (kiri) bersama Pasukan PolicyStreet.com mudahkan urusan insurans di platform digital.
Hajar Umira Md Zaki


Putrajaya: Himpunan dana sebanyak RM25 juta disertai keyakinan pelabur bagi syarikat teknologi insurans membolehkan PolicyStreet.com melonjakkan perkembangannya ke pasaran baharu rantau ini.

Suntikan dana menerusi usaha pembiayaan dana awam ekuiti itu juga bakal memberi peluang kepada syarikat untuk menyediakan kepelbagaian produk insurans lebih meluas bagi memenuhi permintaan ekonomi digital yang semakin meningkat.

Selain kehadiran pelabur baharu, syarikat terbabit turut memperoleh kelulusan awal bagi lesen Insurans Semula dan Insurans Am daripada Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan.

Pengasas Bersama dan CEO PolicyStreet.com, Yen Ming Lee berkata, pihaknya teruja untuk memperkenalkan produk insurans baharu bersama-sama lesen baharu syarikat bagi memperkasa ekosistem digital, di samping terus menyediakan nilai kepada semua pelanggan sedia ada syarikat berkenaan di Asia Tenggara.

Pembiayaan terbabit antara lain susulan perkongsian PolicyStreet.com bersama beberapa syarikat terkemuka termasuk Airasia Money, Foodpanda, myTukar dan Red Ideas Holdings.

Bagi Airasia Money, ia membabitkan penyediaan insurans kenderaan digital kepada semua pelanggan Super App Airasia manakala perkongsian bersama Foodpanda pula membolehkannya menyediakan perlindungan insurans semua rakan penghantaran syarikat penghantaran berkenaan.

Perkongsian strategik bersama myTukar pula membabitkan platform penjualan dan pembelian kenderaan terpakai di bawah Kumpulan Syarikat Carro manakala aplikasi komunikasi kejiranan JagaApp pula dibangunkan oleh syarikat teknologi Red Ideas Holdings.

"Pembiayaan dana awam ekuiti Series A berkenaan adalah pusingan terakhir siri pengumpulan dananya diketuai oleh Altara Ventures, Auspac Ventures, Gobi Partners dan keluarga Leong daripada Kumpulan Mah Sing," katanya.

Bagi perolehan lesen itu pula, ia akan membolehkan PolicyStreet.com menaja jamin insurans semula dan risiko am sejajar dengan hasratnya untuk meluaskan perkongsian strategik dan impaknya di rantau ini.

Sejak penubuhannya pada Januari 2017, PolicyStreet.com mengubah kaedah pemasaran dan penjualan insurans, dengan menjadikan urusan insurans ringkas, mudah dan mampu dimiliki.

Pada 2019, ia satu-satunya syarikat teknologi insurans tempatan yang menerima kelulusan Penasihat Kewangan dan Penasihat Kewangan Islam daripada Bank Negara, membolehkannya bekerjasama dengan 40 penyedia insurans dan takaful di Malaysia yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan insurans.

Bagi pelanggan dan perniagaan yang mahukan perlindungan dan penjimatan insurans, syarikat berkenaan kini mengadakan Bonanza Akhir Tahun. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.policystreet.com/ atau e-mel [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 11:20 AM