KERETA yang terbabit dalam kemalangan maut di Kampung Padang Durian. FOTO Ihsan PDRM.
KERETA yang terbabit dalam kemalangan maut di Kampung Padang Durian. FOTO Ihsan PDRM.
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun meninggal dunia selepas kereta yang dinaiki bersama ibu serta tiga adik beradiknya terbabit dalam kemalangan di Kampung Padang Durian, di sini hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhammad Fakrusy Syakirin Muhamad Muhayidin.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian berlaku jam 4.30 petang membabitkan dua buah kereta iaitu sebuah kereta Proton Waja dan sebuah Proton Persona.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kereta Proton Waja yang dinaiki mangsa yang dipandu ibunya yang berusia 38 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Baling ke Kampung Belat, di sini.

"Sebaik tiba di Kampung Padang Durian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Proton Persona.

"Akibat kemalangan itu, kanak-kanak lelaki terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Pendang.

"Manakala ibu serta tiga beradiknya yang berusia antara tiga, enam dan 12 tahun dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arriz Sham berkata, setakat ini ibu mangsa serta seorang daripada anaknya sedang dirawat di Zon Merah HSB manakala dua lagi anaknya mengalami cedera ringan.

Beliau berkata, dua mangsa lagi yang berada dalam kereta Proton Persona itu dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan lanjut.

"Mayat kanak-kanak lelaki terbabit dihantar ke Jabatan Forensik HSB di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 8:43 PM