Mohamed Sahidi Yusof


Tanah Merah: “Saya tidak sangka perbualan jemaah di masjid mengenai kemalangan maut di Kampung Paloh, di sini, turut membabitkan anak saudara sendiri,” kata Mohd Nuzi Jusoh, 36, bapa saudara Shafiq Safwan Mohd Fozan, 26, yang maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 9.7 Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, dekat Kampung Paloh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, turut maut di lokasi kejadian rakan Shafiq, Mohamad Fikri Firdaus Mat Deris, 25.

Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Kemalangan berlaku apabila Toyota Corona dinaiki mangsa dari Pasir Mas ke Tanah Merah dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung Proton Persona.

Kejadian itu menyebabkan Toyota Corona berpusing dan melanggar Toyota Vios yang berada di belakang Proton Persona.

Mohd Nuzi berkata, dia berada di masjid sebelum dimaklumkan berhubung tragedi itu oleh jemaah lain.

“Pada ketika itu saya tidak tahu anak saudara antara dua mangsa yang maut.

“Selepas pulang barulah saya terkejut apabila dimaklumkan Shafiq mangsa kemalangan itu,” katanya di HTM, di sini, semalam.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu arwah anak saudaranya pada pagi Rabu lalu dan ketika itu dia kelihatan tidak ceria walaupun dia seorang yang peramah dan periang.

“Arwah kakitangan di pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pasir Mas meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan berusia setahun.

“Lebih memilukan, Shafiq Safwan meninggal dunia selepas dua minggu ibu bapanya berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadat haji,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad mengesahkan kejadian.

“Kemalangan itu mengakibatkan pemandu dan penumpang Toyota Corona maut di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 6:48 AM