MPV dinaiki Shaziman yang terbalik. FOTO ihsan PDRM
MPV dinaiki Shaziman yang terbalik. FOTO ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim

Rembau: Ahli Parlimen Tampin Datuk Seri Shaziman Abu Mansor terselamat manakala pemandunya cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dinaiki terbalik dalam kejadian kemalangan di Kilometer 43 Jalan Seremban-Tampin, dekat Kota di sini, malam ini.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, kejadian pada 8.10 malam itu membabitkan dua kenderaan iaitu MPV ahli parlimen terbabit dan sebuah Proton Persona.

"Kejadian berlaku apabila Proton Persona dipercayai cuba memotong kenderaan lain yang berada di hadapan sebelum bertembung MPV Shaziman yang datang dari arah bertentangan.

"Kenderaan Shaziman terbalik manakala kereta berkenaan berpusing beberapa kali," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Katanya, pemandu Shaziman, Saiful Rizal Karim, 48, dan pemandu kereta iaitu lelaki berusia 34 tahun cedera dan dikejarkan ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut manakala Shaziman tidak cedera.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 11:54 PM