Anggota tentera Thailand berkawan dekat kelongsong peluru di depan Balai Polis Ranget di Narathiwat. - Foto AP
Anggota tentera Thailand berkawan dekat kelongsong peluru di depan Balai Polis Ranget di Narathiwat. - Foto AP
BERNAMA

Narathiwat: Enam lelaki menaiki sebuah pikap melepaskan tembakan senjata automatik ke arah Balai Polis Ranget di sini, menyebabkan seorang anggota polis terbunuh dan lima lagi cedera.

Ketua Polis Daerah Ranget Kol Surapon Chattisuk berkata, kejadian pada 8.45 pagi itu (waktu tempatan) berlaku ketika anggota polis berbaris mendengar taklimat pegawai kanan.

“Tembakan dilepaskan oleh lelaki menaiki pikap dari jalan di depan balai. Anggota sempat membalas tembakan," katanya di sini, hari ini.

Polis menemui kira-kira 30 kelongsong peluru raifal M-16 dan AK-47.

Siasatan mendapati pikap yang digunakan lelaki bersenjata itu dicuri dari daerah Sukhirin, Narathiwat, baru-baru ini.

Semalam, dua lelaki berusia 28 dan 30 tahun maut ditembak anggota keselamatan di daerah Resak, di sini, kira-kira 2.30 petang.

Dua lelaki itu dipercayai anggota Runda Kumpulan Kecil (RKK) yang terbabit dalam kejadian pembunuhan empat

sekeluarga baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 7:37 PM