Anggota tentera memeriksa lokasi serangan di daerah Krong Pinang di Yala, Thailand, hari ini. - Foto REUTERS
Anggota tentera memeriksa lokasi serangan di daerah Krong Pinang di Yala, Thailand, hari ini. - Foto REUTERS
BERNAMA

Yala: Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang pos keselamatan polis di Krong Pinang di sini, awal pagi hari ini, mengakibatkan 12 polis cedera.

Ketua Polis Yala Mejar Jeneral Kerissada Keawjandi berkata, kejadian pada kira-kira 1.15 pagi (waktu tempatan) itu menyebabkan berlaku berbalas tembakan selama 10 minit

“Serangan itu dipercayai dipimpin dua ketua Runda Kumpulan Kecil (RKK) di kawasan terbabit,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, kumpulan penyerang itu dipecahkan kepada beberapa unit kecil antara lima hingga tujuh orang sepasukan dan menyerang pos kawalan yang terletak di tengah bandar Krong Pinang dari pelbagai arah.

Beliau berkata, ada antara lelaki bersenjata itu memanjat bumbung rumah berhampiran untuk melepaskan tembakan ke arah pos keselamatan itu.

“Penyerang turut melempar beberapa bom paip sehingga menyebabkan pos keselamatan itu terbakar,” katanya.

Kerissada berkata, pasukan keselamatan menemui ratusan kelongsong peluru M-16 dan AK-47 serta lima bom paip yang gagal meletup selepas kejadian.

“Bagi menghalang unit polis dan tentera berhampiran memberi bantuan, penyerang menebang pokok yang menghalang jalan.

“Mereka turut menabur paku di atas jalan raya dan meletakkan bom untuk melambatkan penghantaran pasukan bantuan,” katanya.

Dalam kejadian minggu lalu, Balai Polis Ranget di Narathiwat diserang sekumpulan lelaki bersenjata mengakibatkan seorang anggota polis maut dan lima cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 5:54 PM