RAFIENA
RAFIENA
Najiy Jefri


Selepas sembilan tahun menimba pengalaman menerbitkan drama, Datuk Rafiena Ezanee Ramli melangkah setapak lagi dalam kariernya dengan bergelar produser filem tahun ini.

Menerusi syarikat produksi miliknya, Darkwave Pictures, Rafiena tampil dengan filem sulung berjudul Kimchi Untuk Awak.

Bakal menemui penonton seluruh negara esok, Rafiena mengakui berdebar menanti reaksi peminat terhadap filem yang dibintangi Emma Maembong, Aiman Hakim Ridza dan Janna Nick itu.

“Walaupun sudah lama bergelumang dalam bidang penerbitan drama bersiri, saya masih mencari kekuatan dan keyakinan untuk menghasilkan filem.

“Bagaimanapun, selepas melihat naskhah Kimchi Untuk Awak, saya yakin untuk menerbitkan filem ini. Sudah tiba masanya untuk saya menimba sesuatu yang baru dan mencari pengalaman dalam lapangan belum pernah diceburi.

“Tambahan pula, syarikat produksi saya tidak bersendirian kerana berkolaborasi dengan Astro Shaw yang memang terkenal sebagai sebuah produksi penerbitan ternama di Malaysia,” katanya.

Menurut Rafiena, biarpun berdebar dia bersyukur sewaktu melihat maklum balas awal penonton ketika malam gala filem itu baru-baru ini malah dia juga seakan-akan mahu bercinta kembali.

“Rata-rata penonton menyukai jalan ceritanya yang santai dan tertunggu-tunggu pengakhiran cerita ini. Mudah kata, filem ini tidak klise.

“Malah ketika saya menonton filem ini pun, rasa macam nak bercinta kembali. Gandingan Aiman dan Emma sangat natural malah aksi manja yang dilakonkan mereka tidak dibuat-buat.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan lakonan mereka berdua. Saya harap filem ini akan diterima ramai dan mendapat tempat di hati khalayak,” katanya.

Pernah terfikir untuk menerbitkan filem bertemakan seram sebagai buah tangan pertama, Rafiena bagaimanapun terpaksa menangguh impian itu selepas meneliti selera penonton .

“Sebelum ini, saya pernah terfikir untuk menerbitkan filem seram kerana Darkwave Pictures memang terkenal dengan karya sebegitu. Namun, saya mendapati selera penonton filem tidak sama dengan penonton drama.

“Saya menyimpan dahulu hasrat terbabit dan muncul dengan filem hasil adaptasi novel yang sememangnya mempunyai pengikut tersendiri,” katanya lagi.

Kimchi Untuk Awak mengisahkan Bella menyambung pengajian di sebuah universiti di Seoul, Korea Selatan.

Apabila cuti semester bermula, Bella bersiap-siap kembali ke Malaysia. Namun, satu insiden berlaku di Lapangan Terbang Incheon yang menemukan Bella dengan jejaka kacukan Korea-Malaysia, Danial Lee Jae Hwan.

Sikap berlagak Danial membuatkan Bella menggelarnya samseng. Tanpa diduga mereka bertemu semula di Malaysia dan Danial adalah majikan kakak Bella.

Pelbagai perkara berlaku sehingga masing-masing dapat tahu keluarga mereka saling mengenali dan merancang untuk mengahwinkan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 11:31 AM