EMMA
EMMA
Amirul Haswendy Ashari


Filem Kimchi Untuk Awak (KUA) bukan saja sangat bermakna buat Emma Maembong, 24, kerana kali pertama memegang watak utama, malah memberi banyak dugaan ketika pembikinannya.

Bermula dengan kehilangan lebih tiga juta pengikut di laman sosial Instagram (IG) kerana digodam individu tidak bertanggungjawab tahun lalu hingga dia hampir hilang fokus ketika bekerja, begitu juga ketika penggambaran filem itu di Korea Selatan selama dua minggu.

Emma atau Fatimah Rohani Ismail berkata, kejadian IG digodam berlaku ketika dia menjalani penggambaran KUA hingga memberi tekanan kepadanya.

Katanya, dalam IG itu dia menyimpan segala fotonya sejak jadi pelakon hingga dia menangis kerana foto itu hilang.

“Semua foto dalam IG tidak disimpan di tempat lain. Mujur ada peminat berusaha mencari dan mengikut saya semula di IG baru.

“Cuma kasihan pada pengikut di luar negara yang mungkin tidak dapat lagi mengikuti perkembangan semasa saya,” katanya.

Dalam KUA arahan Michael Ang yang menggandingkan dia bersama Aiman Hakim Ridza, Emma berhadapan dugaan cuaca ketika penggambaran di Korea Selatan dengan suhu 7 darjah Celsius.

Biarpun ramai beranggapan anak kacukan ‘Mat Salih’ tiada masalah dengan suhu, Emma akui dia berbeza kerana mempunyai masalah kulit kering sejak kecil dan suhu rendah membuatkan masalah itu lebih teruk.

Katanya, sejak dulu masalah kulit kering membelenggunya terutama di bibir.

Menurutnya, pernah berlaku bibirnya terlalu kering sehingga berdarah dan dia perlu sentiasa mengenakan pelembap bibir dan losen kulit.

“Selama di sana, saya tidak berjalan ke mana-mana. Habis penggambaran, terus pulang ke hotel sebab tidak tahan sejuk.

“Apabila ada babak di beberapa lokasi tumpuan, barulah ambil peluang cuci mata. Itu pun sekadar penuhi penggambaran montaj untuk filem,” katanya.

Keadaan suhu terlalu sejuk membantut pergerakan dan pengucapan dialog ketika penggambaran kerana setiap pergerakan terutama bibir ketika mengucapkan dialog diambil kira.

Secara semula jadi, mulut manusia akan menggeletar menahan kesejukan dan situasi itu turut berlaku pada Emma dan Aiman.

Bagi mengurangkan impak sejuk, Emma dan Aiman diselimut kain tebal sebelum berdialog. Sebaik pengarah melaungkan ‘action’, kain akan dibuka dan mereka terus melakonkan babak sepatutnya.

Emma akui berdebar menantikan maklum balas peminat terhadap KUA yang bakal ditayangkan di pawagam pada 30 Mac ini.

Dia menganggap itu menjadi penanda aras sama ada dia layak untuk menerima tawaran filem lain selepas ini.

Biarpun pernah muncul dalam filem Werewolf Dari Bangladesh arahan Mamat Khalid dan akan datang melalui filem Hantu Rumah Sakit Jiwa arahan kedua Michael Ang, kali ini berbeza.

Katanya, dalam KUA dia memegang watak utama dan tanggungjawabnya sebagai pelakon lebih besar.

“Saya anggap dua filem sebelum ini sebagai ruang mencari pengalaman. Banyak juga tawaran berlakon filem yang saya tolak sebab berasakan belum layak.

“Melalui KUA, ia gandingan ketiga bersama Aiman tetapi pengalaman pertama berlakon filem memegang watak utama. Kami berdua banyak belajar mengenai filem melalui KUA.

“Ini terutama pergerakan dan ekspresi dalam filem. Antara kenangan, Aiman pernah tanya adakah kami boleh ‘ad-lib’ dialog dalam filem? Saya kata lebih baik kita tanya pengarah,” katanya.

Sebelum ini, Emma dan Aiman pernah berganding dalam drama Projek Memikat Suami dan Isteri Separuh Masa.

Kata Emma, selama berlakon dalam drama, mereka terbiasa ‘ad-lib’ bagi memberi ruang kepada pelakon meluahkan ekspresi watak dan apabila filem, ia sesuatu yang mungkin asing buat mereka berdua.

Emma berterima kasih kerana kru banyak membantu memastikan segala kerja berjalan lancar terutama Michael yang sangat berterus terang menegur pelakon.

“Kalau pengarah lain, mungkin mereka tidak tegur pelakon seandainya lakonan ‘tidak sampai’. Tapi Michael akan terus tegur tanpa berselindung. Baginya, penjiwaan sangat penting, baharulah penonton pun dapat rasa,” katanya.

Filem Kimchi Untuk Awak mengisahkan Bella lakonan Emma bertemu dengan jejaka berdarah kacukan Melayu-Korea yang sombong bernama Daniel Lee (Aiman Hakim).

Selama perkenalan, perasaan benci mula bertukar menjadi sayang sehingga Bella sedar perhubungan mereka mempunyai sejarah tersendiri yang turut babitkan keluarga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:05 AM