Floyd Mayweather mahu menjual Koenigsegg CCXR Trevita yang dibelinya pada 2015 dengan harga AS$4.8 juta.
Floyd Mayweather mahu menjual Koenigsegg CCXR Trevita yang dibelinya pada 2015 dengan harga AS$4.8 juta.
Agensi

Las Vegas: Juara tinju dunia, Floyd Mayweather, mahu menjual kereta Koenigsegg CCXR Trevita yang hanya ada dua unit di dunia selepas membelinya pada 2015 dengan harga AS$4.8 juta (RM21.2 juta).

Menurut laporan TMZ, peninju berusia 40 tahun itu mahu menjual kereta berkenaan bukan kerana memerlukan wang tetapi untuk memberi ruang kepada kereta lain dalam koleksinya.

Namun tidak dinyatakan berapa harga Mayweather mahu menjual kereta berkenaan. Difahamkan, dia kini bercadang membeli kapal layar berharga AS$20 juta (RM88.4 juta).

Badan kereta biasa CCXR diperbuat daripada gentian karbon khas menyebabkan ia hanya berwarna hitam sehingga muncul Trevita yang bermaksud ‘tiga putih’ dalam bahasa Sweden (pengeluar Koenigsegg) yang badannya diperbuat daripada gentian karbon yang menghampiri berlian.

Kereta berenjin V8 4.8 liter itu boleh memecut dari 0 - 100 km sejam dalam masa 2.9 saat dengan kelajuan maksimum 400 km sejam.

Pengeluar kereta itu merancang membina tiga unit Trevita namun hanya menghasilkan dua unit berikutan kesukaran proses membinanya.

Satu lagi kereta itu dimiliki seorang pengumpul yang tinggal di Geneva dan Mayweather membeli unit kedua daripada pemilik seorang lagi.

Peninju yang tidak pernah kalah itu mempunyai harta dianggar AS$400 juta (RM1.8 bilion), menjadikannya atlet paling mahal di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 6:02 PM