JESKO hypercar terbaharu Koenigsegg.
JESKO hypercar terbaharu Koenigsegg.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Pembuat kenderaan berprestasi tinggi dari Sweden, Koenigsegg Automotive AB, bakal mengeluarkan model berkuasa dan termaju, Koenigsegg Jesko.

Penghasilan jentera ini diilhamkan daripada kereta sports enjin tengah model CCR yang dikeluarkan hanya 14 unit daripada 2004 hingga 2006 dan ia termasuk padanan warna Tang Orange Pearl serta kemasan gentian karbon.

Mula dipertontonkan kepada umum ketika Pameran Motor Antarabangsa Geneva 2019, Koenigsegg Jesko bakal menjengah ke jalanan pada tahun hadapan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christian von Koenigsegg berkata, pendedahan model itu juga selari dengan bermulanya pengeluaran 125 unit Jesko dan kereta pelanggan Jesko Absolut di kilang pemasangan mereka.

"Sepanjang fasa prototaip, ia terbukti menghasilkan kuasa dan pemanduan yang responsif.

"Jentera ini turut memperlihatkan pengendaliannya yang tidak dapat ditandingi menerusi peredam triplex aktif yang ditambah pada suspensi hadapan serta ciri aerodinamik aktif, tayar Michelin yang dibangunkan secara bersepadu dan sistem Kestabilan Elektronik Koenigsegg," katanya.

NOMBOR siri pada konsol tengah.
NOMBOR siri pada konsol tengah.

Katanya, Jasko adalah model serba baharu yang dibangunkan dan bukanlah evolusi daripada model sebelumnya.

Untuk kuasa, ia dijana dengan enjin 5.0 liter V8 pengecas turbo berkembar pacuan roda belakang yang menghamburkan kuasa 1,600 kuasa kuda (hp) dan tork 1,500 Nm.

Selain kompresor elektrik, ia menggunakan tangki udara gentian karbon untuk mengurangkan kelewatan kuasa turbo pada enjin dengan tekanan 290 psi.

Trenkuasa dengan transmisi kelajuan ringan (LST) 9 kelajuan Koenigsegg klac pelbagai adalah karakter utama model ini yang menawarkan kelancaran pada sebarang kelajuan.

Menurut pemandu jentera prototaip Jesko, Markus Lundh, pertukaran gear lancar, sama ada turun atau naik, menjadikan ia lebih pantas tanpa sebarang penangguhan nisbah tukaran.

RODA stereng dengan meter unik.
RODA stereng dengan meter unik.

Kuasa yang dibekalkan pada jentera ini sangat tangkas terutama pada roda stereng yang tidak akan menyebabkan kereta berpusing meskipun terdapat pergerakan secara mengejut pada kelajuan tinggi.

Malah untuk rekaan luaran, meskipun banyak berkait rapat dengan gaya model terdahulu, namun ia adalah penghasilan lebih segar dan baharu termasuk elemen 'downforce' sehingga 1,000 kilogram menerusi pakej aerodinamik boleh laras sepenuhnya.

Sebagai model targa top, ia dilengkapi casis gentian karbon monocoque yang direka semula untuk ruang kabin tambah selesa dan penglihatan yang lebih luas.

Ruang dalamannya dilengkapi ciri termaju termasuk kluster instrumen meter bersaiz lima inci pada belakang roda stereng, ia untuk maklumat berkaitan kepada pemandu.

Tempat duduk gentian karbonnya boleh dilaras menggunakan kuasa elektrik.

Sebagai unit terhad dengan angka siri pada setiap yang dibina, pelanggan Jesko bakal menerima model ini bermula pada suku kedua 2022 dan jentera ini dikhabarkan sudah ditempah sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 7:00 AM