BUGATTI Centodieci kereta terbaharu Ronaldo. FOTO Agensi
BUGATTI Centodieci kereta terbaharu Ronaldo. FOTO Agensi
Susunan Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo mahu menambah koleksi kereta eksklusifnya apabila membeli edisi istimewa Bugatti Centodieci yang dipercayai berharga kira-kira 10 juta euro (RM48.3 juta).

Kereta itu amat berharga kerana hanya 10 unit dipasang dan Ronaldo berjaya meraih satu daripadanya.

Kereta itu dikatakan dicetus menerusi inspirasi sejarah Bugatti. Ia berwarna hitam dan putih, dengan engin lapan liter W16. Kelajuan maksimumnya adalah 380 kilometer sejam dan kereta itu boleh dipandu daripada 0 kepada 100 kmj dalam hanya 2.6 saat.

Ia kereta kedua dibeli ikon serangan Portugal berusia 36 tahun itu selepas kembali ke Old Trafford dari Juventus pada musim panas lalu. Bulan lalu, dia membeli kereta Bentley Flying Spur bernilai £164,000 (RM939,000).

Model itu dianggap sebagai "kemuncak kemewahan Bentley" dan Ronaldo sering dilihat memandunya ke kompleks latihan kelab AON Carrington.

Penyerang Manchester United itu mempunyai koleksi kereta menakjubkan termasuk tiga Ferrari, dua Lamborghini, dua Bugatti, dua McLaren, dua Rolls-Royce, satu Porsche 911 Turbo S, satu Koenigsegg CCX, satu Bentley Continental GT Speed, satu Range Rover Sport SVR di samping beberapa Audi dan Mercedes-AMG.

Aksi bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo dalam perlawanan Liga Perdana. FOTO EPA
Aksi bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo dalam perlawanan Liga Perdana. FOTO EPA

Antara kereta paling mahal dimiliki pemain bintang itu termasuk Ferrari Monza yang bernilai £1.4 juta (RM8 juta), Bugatti Veyron Grand Sport dinilai pada harga £1.7 juta (RM9.7 juta) dan Bugatti Chiron bernilai £2.15 juta (RM12.3 juta).

Apabila dia memindahkan beberapa keretanya dari kediaman di Turin pada awal musim panas lalu, desas-desus bertiup kencang mengenai kepulangannya semula ke Manchester yang akhirnya menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, pesaingnya dalam dunia bola sepak, Lionel Messi dilaporkan membida AS$35.5 juta (RM148 juta) pada satu sesi lelongan untuk membeli 335 S Spider Scaglietti, yang menjadi kereta paling mahal di dunia pada 2016.

Laporan menyebut Ronaldo turut berminat untuk membeli kereta itu namun tidak berjaya.

Rekod terdahulu bagi kereta paling mahal di dunia adalah AS$25.3 juta (RM105.5 juta) menerusi jualan kereta Mercedes W196 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 7:06 PM