Anggota bomba dan penyelamat mengangkat mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis. (Gambar kecil) Nik Shahreza. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Anggota bomba dan penyelamat mengangkat mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis. (Gambar kecil) Nik Shahreza. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Mohamed Sahidi Yusof


Tanah Merah: Selepas sehari hilang, seorang pemancing ditemui lemas di Sungai Kelantan di Kampung Tepi Sungai, di sini, pada jam 5.39 petang tadi.

Mangsa, Nik Shahreza Che Hashim, 30, ditemui di Pengkalan Jabir, Kampung Sat iaitu satu kilometer dari lokasi dia lemas.

Mayat ditemui oleh seorang pemancing yang melihat kepala mangsa timbul di dalam air sebelum memaklumkan kepada pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Hanaffi Mohd berkata, pasukan mencari dan menyelamat mengangkat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah sebelum diserahkan kepada keluarga,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan di Kampung Tepi Sungai dalam kejadian jam 6.30 petang semalam.

Mangsa ke sungai berkenaan bersama seorang adik dan dua rakan untuk memancing sebelum dihanyutkan arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 7:46 PM