Anggota bomba  menjumpai mayat  Nik Shahreza.
Anggota bomba menjumpai mayat Nik Shahreza.
Mohamed Sahidi Yusof


Tanah Merah: “Saya sudah larang dia, namun dia tidak menghiraukan nasihat saya,” kata Che Shahiri Che Hashim, 27, adik kepada seorang lelaki yang lemas di Sungai Kelantan dekat Kampung Tepi Sungai, di sini semalam.

Nik Shahreza, 30, ditemui lemas di Pengkalan Jabir, Kampung Sat pada jam 5.39 petang semalam iaitu satu kilometer dari lokasi dia jatuh, petang kelmarin.

Mayatnya ditemui seorang pemancing yang melihat objek seperti kepala sebelum menghubungi pasukan penyelamat.

Che Shahiri berkata, dia bersama arwah dan dua rakan mereka ke sungai itu untuk memancing sebelum abangnya memberitahu mahu ke kawasan tengah sungai dekat timbunan batu.

Katanya, dia melarang abangnya berenang ke situ kerana arus sungai deras dan kawasan terbabit membahayakan.

“Sehari sebelum kejadian, saya ada mencuba berenang ke kawasan itu untuk memancing di situ, tetapi saya sendiri hampir lemas kerana arus deras.

“Apabila abang mahu mencuba, saya tegah kerana bahaya. Saya sudah beritahu tempat itu bahaya tetapi dia tidak hirau kata-kata saya. Tidak lama selepas itu saya dengar dia minta tolong dan mula terkapai-kapai. Saya hulur buluh supaya dia dapat berpaut, namun abang tidak sempat mencapainya sebelum tenggelam,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, dia percaya abangnya mengalami kekejangan otot dan sukar tiba di kawasan batu itu.

Difahamkan, kawasan berbatu itu terletak 200 meter dari tebing sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Hanaffi Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.41 petang dan seramai 12 pegawai serta anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2017 @ 9:54 AM