BERMAIN mampu meningkatkan kemahiran motor halus dan kasar.
BERMAIN mampu meningkatkan kemahiran motor halus dan kasar.
KANAK-KANAK memotong batang kangkung sambil dipantau guru di Tadika Rohani.
KANAK-KANAK memotong batang kangkung sambil dipantau guru di Tadika Rohani.
LEKA mengorek lubang bagi menanam benih benih.
LEKA mengorek lubang bagi menanam benih benih.
SERONOK kanak-kanak comel ini memegang benih bendi yang akan disemai di kawasan tadika.
SERONOK kanak-kanak comel ini memegang benih bendi yang akan disemai di kawasan tadika.
Siti Zarinah Sahib


Sekumpulan kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun leka menanam anak benih bendi yang sudah disemai. Sambil mengorek lubang dengan tangan, mereka teruja menanam pokok sambil mulut tidak henti-henti bertanya kepada guru yang ada bersama mereka. Tiada istilah geli atau takut bermain tanah kerana mereka sudah dibiasakan 'berkawan' dengan alam.

Di sudut yang lain pula kanak-kanak berusia empat tahun bersedia memotong batang kangkung menggunakan gunting. Kanak-kanak comel ini langsung tidak kekok memegang gunting, malah menggunting batang kangkung dengan cermat sehingga dapat mengumpul beberapa ikat kangkung yang sedia untuk dimasak.

Menurut pemilik Tadika Rohani Siti Hajar Mustaffa, menanam, menyiram pokok dan memetik sayur-sayuran adalah di antara aktiviti yang dimasukkan dalam sukatan pelajaran sejak tadika ini dibuka penghujung 2016 lalu.

Mata pelajaran berinteraksi dengan alam diwujudkan kerana tidak mahu anak kecil ini dibebani dengan pembelajaran dalam kelas semata-mata. Paling penting ia dapat mewujudkan rasa mempunyai Tuhan dengan mengenal penciptanya.

Secara umumnya semua kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Pada hari pertama aktiviti menanam sayur-sayuran ini mereka sudah bertanya bagaimana tumbuhan ini hidup dan adakah pokok membesar. Semua pertanyaan mereka perlu dijawab bersama teori dan amali.

“Sesi menanam pokok dan mengenal pelbagai jenis sayur-sayuran adalah salah satu daripada pembelajaran yang memerlukan mereka menjalani latihan amali. Untuk itu guru akan menerangkan mengenai sebab dan akibat.

“Misalnya tumbuhan memerlukan air dan tidak dapat hidup tanpa air. Rumput bersaing dengan sayur sawi untuk hidup. Haiwan dan manusia memerlukan oksigen untuk bernafas dan pelbagai pengetahuan yang jarang mereka peroleh sekiranya ibu bapa tidak memberikan penerangan dengan jelas. Mereka juga tahu tumbuhan ini tidak hidup sendiri sama seperti manusia yang ada penciptanya,” katanya.

Benih keyakinan diri

Siti Hajar yang berpengalaman menguruskan tadika yang dimiliki sepenuhnya oleh pusat rawatan Islam di Bangi, menjelaskan pengalaman selama tiga tahun dalam bidang pengurusan menyebabkan dia berani mencabar diri untuk membuka tadika berkonsepkan pendidikan sambil bermain menggunakan teknik Sayangi al-Quran Seawal Usia (SASU).

Ini dilakukan selepas menyedari tidak banyak tadika menggunakan konsep sebegini apabila ramai menekankan kepada akademik dan keupayaan membaca, mengira dan menulis berbanding sahsiah dan akhlak.

“Dalam setiap aktiviti yang diadakan saya menanam sifat bertuhankan Allah. Kanak-kanak diajar untuk berasakan Allah sentiasa melihat dan tahu apa yang dilakukan. Bagi memberikan penekanan saya menggunakan ayat al-Quran dalam rutin seharian. Misalnya ketika memberikan arahan saya menggunakan ayat al-Quran dengan suara yang jelas dan lantang.

“Secara tidak langsung walaupun pada mulanya mereka tidak memahami lama-kelamaan pelajar kecil ini mula menyukai bahasa Arab kerana sudah terbiasa dengannya. Dengan cara ini juga kami dapat membudayakan al-Quran,” katanya.

Begitu juga dengan aktiviti menanam sayur-sayuran yang jelas dinyatakan di dalam al-Quran dalam surah An-Naba ayat 15 mengenai percambahan biji benih manakala kitaran hujan pula diterangkan dalam surah Ar-Rum ayat 48.

Penjelasan mengenai ayat al-Quran ini membuktikan bahawa setiap kejadian semuanya atas izin Allah. Mungkin pada mulanya kanak-kanak ini kurang memahami tetapi lama-kelamaan jika diterangkan setiap hari ia memberikan kefahaman mengenai konsep ketuhanan kepada mereka.

Dalam aspek yang lain pula, kejayaan pelajar kecil ini menanam sayur-sayuran sehingga membuahkan hasil memberikan keyakinan diri yang tinggi kepada mereka. Oleh kerana setiap orang berpeluang menanam dan menyiram sehingga sayur-sayuran ini matang dan boleh dipetik mewujudkan keseronokan.

Sayur-sayuran seperti bayam, kangkung dan bendi yang sudah dipetik akan dimasak dan diberikan kepada kanak-kanak. Secara tidak langsung ia mendedahkan kepada mereka mengenai pemakanan sihat berasaskan tumbuh-tumbuhan hijau.

“Sifat semula jadi kanak-kanak tidak gemar mengambil sayur dalam menu harian mereka. Ini yang cuba kami terapkan apabila mereka sendiri teruja menjamah hidangan bersama sayur-sayuran yang sudah dimasak. Mereka tahu sayur-sayuran membekalkan mineral penting untuk tumbesaran. Sayur-sayuran pula menggunakan benih bukan GMO dan baja organik,” kata Siti Hajar.

Mengaktifkan kemahiran motor

Memegang cangkul dan gunting, bermain dengan tanah dan menyiram pokok adalah aktiviti motor halus dan motor kasar yang mampu meningkatkan kemahiran fizikal dan mental mereka. Pada usia tiga tahun ada kanak-kanak yang mampu memegang gunting dengan baik.

Mereka juga tidak geli bermain dengan tanah dan sentiasa berfikiran terbuka untuk belajar. Lebih penting pelajar ini sudah mengenali pelbagai jenis sayur-sayuran seperti bayam, bendi, tomato dan cili yang mungkin tidak diketahui kanak-kanak seusia mereka.

Pada masa yang sama, Siti Hajar turut mewujudkan jadual giliran menyiram sayur, menjaga pokok daripada serangga dan mencabut rumput bagi memberikan rasa tanggungjawab yang diamanah kepada mereka.

Mereka juga membela kura-kura dan setiap pelajar dikhaskan memberikan makanan kepada kura-kura setiap hari. Teknik penakulan dan penemuan baru ketika sesi pembelajaran di luar bilik darjah akan membuatkan mereka bukan saja belajar secara teori tetapi praktikal.

“Misalnya ulat beluncas yang ditemui pada pokok sayur akan dibela bagi memberi peluang pelajar melihat sendiri kitaran hidup rama-rama. Dengan cara ini mereka belajar mengenai serangga secara teori dan praktikal yang akan menanamkan sifat mencintai alam sekitar. Mereka juga diajar mengenai kemusnahan alam sebab dan akibat serta rasa tanggungjawab sebagai khalifah untuk memelihara bumi,” katanya yang banyak menekankan mengenai aktiviti dalam kumpulan bagi mewujudkan semangat kerjasama dan setia kawan.

Belajar sambil bermain

Sebelum membuka Tadika Rohani di Bandar Baru Bangi, Siti Hajar banyak menjalani kursus asas mengenai pendidikan awal kanak-kanak. Mengaitkan dengan al-Quran dan teori terdahulu, Ibnu Khaldun banyak menekankan mengenai bermain berbanding belajar terutama untuk kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun.

Ini bagi meraikan bakat dan fitrah kanak-kanak yang seharusnya diberikan peluang menggunakan pancaindera mereka seperti melihat, mendengar, menyentuh, merasa dan menghidu.

Untuk itu selain aktiviti di luar bilik darjah mereka juga diberikan waktu menyeronokkan di dalam kelas seperti bermain lego dan bercerita yang akan mengaktifkan kemahiran motor kasar dan halus.

Mereka juga dididik untuk mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri. Tadika Rohani juga tidak menggalakkan pelajar menonton televisyen bagi merapatkan hubungan di antara guru dan pelajar.

“Ibu bapa biasanya memberikan gajet kepada anak-anak dan membenarkan mereka menonton televisyen tanpa had. Walaupun ada kebaikannya namun menonton program yang tidak berfaedah akan mengehadkan peluang mereka berkomunikasi dan berinteraksi dengan ibu bapa.

“Mereka juga mudah meniru adegan yang tidak sepatutnya. Selepas tiga bulan tidak menonton televisyen ibu bapa memberikan maklum balas yang anak mereka lebih banyak bercakap dan suka bertanya,” katanya.

Mempunyai tiga guru yang mempunyai ijazah sarjana muda, sebagai pengetua dia sangat menekankan mengenai adab dan akhlak. Ini bukan bermakna dia tidak mementingkan akademik namun falsafahnya adalah ingin membina peribadi dan akhlak yang mulia agar pelajar kecil ini dapat membawa nilai murni walau di mana saja mereka berada.

Pembinaan adab walaupun bermula di rumah tetapi ia wajar diamalkan di sekolah.

Ia boleh dipelajari menerusi percakapan menggunakan bahasa positif, menanam semangat cintakan agama, bangsa dan negara serta berbangga menjadi orang Melayu.

“Kami juga memberikan ruang si kecil memberikan idea, meluahkan apa yang diinginkan selain menanam sifat yakin dan jati diri yang tinggi agar walau apa juga cabaran di luar mereka dapat menghadapinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 11:27 AM