UNGGAS yang dijangkiti mesti dimusnahkan bagi mengelak wabak lebih buruk.
UNGGAS yang dijangkiti mesti dimusnahkan bagi mengelak wabak lebih buruk.
UNGGAS yang dijangkiti mesti dimusnahkan bagi mengelak wabak lebih buruk.
UNGGAS yang dijangkiti mesti dimusnahkan bagi mengelak wabak lebih buruk.
Zaitie Satibi

Kemunculan semula wabak selesema burung jenis H5N1 yang dikesan pada ayam di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini, selepas kali terakhir dilaporkan berlaku di Selangor pada 2007, meresahkan orang ramai kerana bimbang ia menjangkiti manusia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, aktiviti pencegahan dan kawalan dilakukan berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Avian Influenza 2004 oleh Kementerian Kesihatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif dilakukan dalam lingkungan 300 meter radius dari tempat kejadian ayam mati di Kampung Pulau Tebu.

Menurutnya, pihak kementerian mengambil langkah melakukan promosi kesihatan berkaitan penyakit selesema burung dan dipergiatkan di kawasan dalam lingkungan satu kilometer radius dari tempat kejadian.

Sebanyak 368 risalah dan 172 Kad Amaran Kesihatan diedarkan, manakala 122 sesi perbincangan kecil membabitkan 464 penduduk, 255 sesi tunjuk cara kepada 620 penduduk, 373 nasihat kepada individu, 88 hebahan awam dan 16 tampalan poster dilakukan dalam lingkungan satu kilometer dari tempat kejadian.

Bagi pengesanan awal kejadian kes dalam kalangan manusia, semua fasiliti kesihatan juga diarahkan untuk meningkatkan pemantauan ke atas kes Infuenza Like Illness (ILI) dan kes jangkitan respiratori yang datang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.

“Anggota kesihatan juga diminta meningkatkan prosedur kawalan jangkitan di fasiliti kesihatan. Semua anggota Jabatan Kesihatan dan JPV menggunakan alat perlindungan diri yang lengkap sewaktu menjalankan tugas di lapangan.

“Status kesihatan anggota dipantau setiap hari bagi memastikan tiada jangkitan dalam kalangan anggota yang menjalankan tugas di lapangan. Orang ramai juga dinasihatkan segera mendapat rawatan di fasiliti kesihatan jika mengalami gejala dan terdedah kepada ayam mati yang disahkan positif atau kejadian unggas mati yang luar biasa.

“Amalkan pengendalian unggas yang baik seperti pemakaian penutup mulut dan hidung, sarung tangan, apron dan kasut but. Bagi penyembelih ayam, penjual ayam dan pekerja tempat pemprosesan daging ayam, mereka hendaklah sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, apron, sarung tangan getah atau plastik dan but getah kalis air serta basuh tangan menggunakan air bersih bersama sabun,” katanya.

INFO

Apakah H5N1?

H5N1 adalah sejenis virus influenza yang menyebabkan masalah respiratori teruk dan sangat mudah berjangkit pada unggas dipanggil selesema burung (avian influenza). Kes manusia dijangkiti H5N1 berlaku sekali-sekala tetapi virusnya sukar dipindahkan daripada individu ke individu lain. Apabila manusia dijangkiti, kadar kematiannya kira-kira 60 peratus.

Dari manakah datangnya virus ini?

Virus ini wujud lebih seabad yang lalu secara semula jadi dalam kumpulan burung liar yang selalunya tidak mengalami penyakit kesan daripada virus terbabit.

Bagaimana H5N1 tersebar dalam kalangan manusia?

Hampir semua kes jangkitan H5N1 dalam kalangan manusia dikaitkan dengan sentuhan rapat dengan unggas yang dijangkiti sama ada hidup atau mati atau persekitaran tercemar dengan H5N1. Virus ini tidak menjangkiti manusia dengan mudah dan untuk ia berpindah antara individu juga sesuatu yang luar biasa. Malah, tiada bukti menunjukkan virus ini boleh merebak dengan mudah dalam kalangan manusia menerusi makanan yang disedia dan dimasak dengan baik.

Mengapa H5N1 perlu diberi perhatian serius?

Ini kerana, jangkitan H5N1 dalam kalangan manusia boleh menyebabkan penyakit teruk dan kadar kematian tinggi. Jika virus H5N1 berubah dan menjadi mudah berjangkit daripada seseorang ke orang lain sambil mengekalkan kapasitinya untuk menyebabkan penyakit teruk, padahnya terhadap kesihatan awam menjadi serius.

Kenapa virus influenza H5N1 mungkin berubah?

Virus influenza sentiasa menjalani perubahan genetik. Oleh itu, penyakit ini wajar diberi penekanan yang serius jika ia mula menyesuaikan mengikut keadaan sehingga menyerang manusia.

Apakah simptom H5N1 dalam kalangan manusia?

Simptom jangkitan H5N1 membabitkan demam dengan suhu tinggi melebihi 38 Celcius, letih lesu, batuk, sakit tekak dan sakit sendi. Simptom awal yang lain seperti sakit abdomen, sakit dada dan cirit-birit. Jangkitan mungkin berkembang cepat sehingga mengalami masalah pernafasan teruk seperti sukar bernafas, sesak nafas, pneumonia dan sindrom masalah pernafasan akut (ARDS) serta perubahan neurologi yang mengubah status mental atau sawan.

Adakah selamat untuk makan daging ayam, produk ayam dan unggas liar?

Masih selamat untuk makan ayam dan unggas liar lain yang disediakan dan dimasak secukupnya. Virus ini sensitif pada haba dan suhu normal ketika memasak boleh membunuh virus terbabit. Sebagai langkah berjaga-jaga, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan semua bahan makanan berasaskan ayam termasuk unggas liar sentiasa disediakan mengikut amalan kebersihan yang baik termasuk dimasak secukupnya.

Hingga kini, kriteria biasa manusia yang dijangkiti H5N1 adalah pekerja rumah penyembelihan dan pengendali daging ayam atau unggas yang mentah sebelum dimasak. Tugasan sebegitu menyebabkan risiko tinggi jangkitan kepada manusia dan inilah yang paling penting untuk dielakkan.

Bagaimana H5N1 dalam kalangan manusia dirawat?

Dalam kebanyakan kes, avian influenza dalam kalangan manusia berkembang kepada keadaan serius dan perlukan rawatan segera di hospital dan mungkin juga penjagaan rapi. Ubat antivirus, oseltamivir, boleh mengurangkan tahap kemudaratan penyakit dan mencegah kematian.

Adakah vaksin bagi mencegah jangkitan H5N1 ke manusia?

Vaksin untuk mencegah jangkitan H5N1 memang ada tetapi masih belum boleh digunakan dengan meluas.

Adakah vaksin selesema bermusim menawarkan perlindungan daripada virus H5N1?

Tidak.

Apakah tanda penyakit selesema burung pada unggas?

• Murung dan kurang selera makan

• Batuk, bersin dan lelehan dari hidung

• Bengkak di kepala, balung, pial dan kaki

• Balung, pial dan kaki berubah warna kepada ungu

• Najis cair berwarna kehijauan

• Pengeluaran telur menurun

• Dalam kes teruk, kematian mengejut berlaku dan kadar kematian tinggi

Bagaimana penyakit ini merebak?

• Burung hijrah

• Pergerakan unggas yang berjangkit

Bagaimana unggas mendapat jangkitan?

Virus terdapat dalam najis, air liur dan lelehan dari hidung unggas yang dijangkiti. Unggas boleh dijangkiti apabila tersentuh dengan unggas lain yang mati, makanan, air atau peralatan yang tercemar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:17 AM