Notis Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang ditampal di Ladang ternakan ayam itik di Kampung Kedongdong , Pasir Mas, mengenai wabak H5N1. - Foto Fail (FATHIL ASRI)
Notis Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang ditampal di Ladang ternakan ayam itik di Kampung Kedongdong , Pasir Mas, mengenai wabak H5N1. - Foto Fail (FATHIL ASRI)
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Sehingga semalam, 33,153 ternakan unggas dan 13,342 telur dilupuskan susulan kes selesema burung H5N1 di Kelantan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam kenyataan berkata, berdasarkan pemantauan, 3,127 sampel diambil daripada 525 pemilik ternakan.

"Selain itu, 28 lokasi disahkan positif virus H5N1 di enam jajahan iaitu Kota Bharu (14), Pasir Mas (enam), Tumpat (tiga), Tanah Merah dan Bachok (masing-masing satu) dan Pasir Puteh (tiga) dengan keseluruhan membabitkan 43 premis.

"Menerusi aktiviti dan status terkini H5N1 semalam, tiada lokasi baru disahkan positif," kata kenyataan itu.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut menjelaskan keadaan terkawal dan terhad kepada kawasan yang dijangkiti membabitkan ayam kampung penternak kecil.

Katanya, sekatan jalan raya dikendalikan sebagai kawalan pergerakan unggas dari negeri Kelantan di empat lokasi strategik.

"Negeri lain kekal bebas dan berada pada tahap siap siaga yang tinggi, malah semua negeri yang bebas sedang melakukan pemantauan aktif serta kawalan pergerakan unggas di jalan masuk ke negeri masing-masing.

"Setakat ini tiada kes jangkitan dikesan dalam kalangan manusia manakala, ayam pedaging dan telur yang dimasak selamat dimakan."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 1:03 PM