FOTO fail menunjukkan petugas memeriksa unggas di sebuah taman negara di Galapagos bagi mengesan hidupan yang dijangkiti selesema burung. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan petugas memeriksa unggas di sebuah taman negara di Galapagos bagi mengesan hidupan yang dijangkiti selesema burung. FOTO AFP
AFP

Washington: Seorang individu di Amerika Syarikat sedang pulih daripada selesema burung selepas terdedah kepada lembu tenusu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat berkata, ia kes kedua manusia diuji positif dengan selesema burung di negara ini, susulan ternakan yang dijangkiti virus itu di Texas, Kansas dan beberapa negeri lain, sepanjang minggu lalu.

"Pesakit melaporkan kemerahan mata (konsisten dengan konjunktivitis) sebagai satu-satunya gejala dan semakin pulih.

"Mereka dinasihatkan untuk mengasingkan dan sedang dirawat dengan ubat antivirus yang digunakan untuk selesema," katanya.

CDC berkata, jangkitan itu tidak mengubah penilaian risiko kesihatan untuk orang awam yang dinilai sebagai rendah.

Kes pertama berlaku di Colorado pada 2022, bagaimanapun jangkitan itu berlaku melalui ayam yang dijangkiti.

Pakar bimbang peningkatan bilangan mamalia yang dijangkiti strain H5N1 semasa Influenza Burung Sangat Patogenik (HPAI) dan potensinya untuk merebak dari mamalia ke mamalia, walaupun kes dalam kalangan manusia masih sangat jarang berlaku.

Jabatan Kesihatan Texas berkata, jangkitan lembu tidak menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan susu komersial.

Katanya, pasteurisasi membunuh sebarang virus.

"Pihak kami sedang berusaha untuk menyediakan panduan kepada penternak tenusu yang terjejas mengenai cara meminimumkan pendedahan pekerja, dan bagaimana orang yang bekerja dengan lembu yang terjejas harus memantau gejala dan menjalani ujian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 11:11 AM