IBU pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva. FOTO fail AFP
IBU pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva. FOTO fail AFP
AFP

Beijing: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kes kematian pertama akibat selesema burung H3N8 membabitkan seorang wanita di China.

H3N8 diketahui menular sejak 2002 selepas pertama kali muncul dalam unggas air Amerika Utara dan menjangkiti kuda, anjing serta anjing laut.

Virus itu bagaimanapun tidak dikesan pada manusia sebelum dua kes tidak membawa maut muncul di China, pada April dan Mei tahun lalu.

Bagi kes baharu ini, kematian membabitkan wanita berusia 56 tahun dari wilayah Guangdong di tenggara China.

Menurut WHO, mangsa mula sakit pada 22 Februari dan dimasukkan ke hospital kerana radang paru-paru pada 3 Mac, sebelum meninggal dunia pada 16 Mac.

"Pesakit mempunyai sejarah terdedah kepada ayam hidup sebelum penyakit itu dikesan selain kehadiran burung liar di sekitar rumahnya.

"Tiada kontak rapat kes itu mengalami jangkitan atau gejala penyakit seperti dilaporkan," katanya.

Justeru, WHO menggesa siasatan lanjut ke atas haiwan dan manusia bagi mengesan punca sebenar jangkitan berkaitan virus itu.

WHO berkata, berdasarkan dua kes tahun lalu, seorang dilaporkan kritikal dan seorang lagi mengalami gejala ringan.

Katanya, kedua-dua kes berkemungkinan mendapat jangkitan daripada pendedahan langsung atau tidak langsung kepada ayam yang dijangkiti.

"Virus itu kemungkinan tidak mempunyai keupayaan merebak dengan mudah dari manusia ke manusia.

"Oleh itu, risiko merebak dalam kalangan manusia di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa dianggap rendah.

"Bagaimanapun, disebabkan sifat virus influenza yang sentiasa berubah, WHO menekankan kepentingan pengawasan global untuk mengesan perubahan virologi, epidemiologi dan klinikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 11:21 AM