NOOR Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
NOOR Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Tujuh kes mengalami gejala selesema burung (H5N1) sudah diasingkan (isolation) di hospital berhampiran susulan daripada jangkitan yang berlaku di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, enam anggota Makmal Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang mengalami gejala ringan dan dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Tumpat pada 5 Mac disahkan negatif penyakit selesema burung.

"Mereka sudah keluar dari wad pada 6 Mac lalu dan berada dalam keadaan sihat serta tidak mengalami gejala selesema burung.

"Pada masa sama, seorang penduduk kampung dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) kelmarin dan dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan ujian makmal bagi penduduk itu disahkan negatif H5N1 dan positif Influenza B manakala, sehingga 5 petang semalam, tiada kes H5N1 dalam kalangan manusia.

Katanya, sehingga semalam, 58 rumah sudah dilawati membabitkan 235 penduduk, 21 anggota kesihatan dan 45 anggota Jabatan Veterinar.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pihaknya mengesahkan tiada sebarang jangkitan kes H5N1 berlaku dalam kalangan manusia setakat ini walaupun ada ternakan ayam diserang penyakit itu.

Beliau dilaporkan berkata, punca jangkitan H5N1 pada ayam kampung itu masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 11:11 AM