ITIK dijual di pasar di Phnom Penh. FOTO fail AFP
ITIK dijual di pasar di Phnom Penh. FOTO fail AFP
AFP

Phnom Penh: Kanak-kanak lelaki meninggal dunia akibat selesema burung di Kemboja, Khamis lalu, menurut Kementerian Kesihatan.

Kementerian berkenaan pada Jumaat sekali gus memberi amaran mengenai ancaman berterusan virus itu yang mengorbankan tiga mangsa, pada tahun lalu.

Dalam kejadian di wilayah Kratie, mangsa berumur sembilan tahun itu dilaporkan jatuh sakit selepas menikmati hidangan unggas bersama keluarganya, termasuk mengalami demam, batuk dan kesukaran bernafas sebelum meninggal dunia.

Menurut kementerian, hasil ujian mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat strain virus H5N1 yang sangat patogenik.

"Berdasarkan keterangan, terdahulu, lima ayam dan tiga itik didapati mati di kawasan rumah pesakit. Mereka kemudian memasak ayam dan itik berkenaan sebagai hidangan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pegawai kesihatan sedang menyiasat sumber virus itu dan berusaha mengesan kes-kes lain.

"Kementerian Kesihatan ingin sekali lagi mengingatkan semua supaya berwaspada terhadap selesema burung kerana H5N1 terus mengancam kesihatan rakyat kita," katanya.

Tahun lalu, sekurang-kurang tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, meninggal dunia akibat selesema burung di Kemboja.

Sejak akhir 2021, Eropah dilanda penularan terburuk wabak selesema burung, malah Amerika Utara dan Amerika Selatan turut terkesan dengan teruk.

Ia menyebabkan puluhan juta unggas domestik di seluruh dunia terpaksa dihapuskan, yang mana kebanyakannya dijangkiti strain H5N1. Ia termasuk kira-kira 140,000 unggas di Republik Czech pada awal bulan ini.

Wabak global itu juga menjadi punca kematian puluhan ribu burung liar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 10:29 AM