SUKARELAWAN Syria menggali runtuhan masjid untuk mencari mangsa serangan udara di Kampung Al-Jina di Aleppo, semalam.  - AFP
SUKARELAWAN Syria menggali runtuhan masjid untuk mencari mangsa serangan udara di Kampung Al-Jina di Aleppo, semalam. - AFP
Agensi

Beirut: Kumpulan penentang kerajaan Syria, Ahrar al-Sham berkata semalam, pakatan yang diketuai Amerika Syarikat bertanggungjawab terhadap serangan yang menyasarkan sebuah masjid berhampiran Aleppo lewat kelmarin sehingga menyebabkan puluhan orang terbunuh.

Serangan di sekitar masjid berkenaan di Kampung al-Jina berhampiran Atarib di barat Aleppo, menyebabkan sekurang-kurangnya 46 orang mati, kebanyakannya orang awam, kata kumpulan pemerhati hak asasi manusia Syria.

Amerika Syarikat mengaku melakukan serangan udara dengan menyasarkan militan al-Qaeda yang dipercayai bermesyuarat di satu lokasi di wilayah Idlib.

Ia bagaimanapun menafikan menyerang masjid itu.

Pakatan yang diketuai Amerika Syarikat sering melancarkan serangan terhadap kumpulan penentang kerajaan Syria sejak 2014, menyebabkan ratusan orang terbunuh secara tidak sengaja.

“Kami tidak menyasarkan masjid, tetapi sebuah bangunan tempat al-Qaeda mengadakan mesyuarat, kira-kira 15 meter dari masjid itu,” kata jurucakap Markas Pusat Amerika, Colonel John J Thomas.

AFP melaporkan, pasukan penyelamat terpaksa bekerja keras mencari mangsa yang tertimbus dalam runtuhan selepas serangan itu.

Sebahagian besar masjid itu runtuh dan lebih 100 orang cedera.

Seorang penduduk, Abu Muhammed berkata, serangan dilakukan sejurus selepas solat yang biasanya diadakan ceramah agama yang dihadiri jemaah lelaki.

“Saya melihat mayat bertaburan. Sebahagiannya berkecai hingga sukar untuk dikenali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 7:00 AM