SERAMAI 22 anggota tentera dan militia Syria maut dalam dua serangan di Aleppo.
SERAMAI 22 anggota tentera dan militia Syria maut dalam dua serangan di Aleppo.
AFP

BEIRUT: Seramai 22 anggota tentera dan militia Syria maut dalam dua serangan di Aleppo, utara Syria, kata pemantau perang hari ini.

Tiga puluh yang lain cedera dalam serangan dilancarkan kumpulan yang pernah menjadi cabang al-Qaeda di Syria, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), dan sekutunya Hurras al-Deen, yang masih bersekutu dengan rangkaian militan antarabangsa itu, kata Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpangkalan di Britain.

Serangan di selatan dan barat daya Aleppo itu dilancarkan selepas waktu tengah malam dan mencetuskan pertempuran yang berterusan sehingga waktu subuh, kata ketua SOHR, Rami Abdel Rahman.

Katanya, pertempuran berakhir selepas pesawat pejuang Russia menyerang lokasi militan di kawasan itu yang menyebabkan lapan penyerang berkenaan terbunuh.

Menurut SOHR, pesawat pejuang Russia turut melancarkan serangan di Hama pada awal Sabtu menyebabkan lima orang awam terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 10:21 PM