DRON MQ-9. FOTO HIASAN
DRON MQ-9. FOTO HIASAN
AFP

Damsyik: Pemimpin kanan al-Qaeda terbunuh dalam serangan udara di Syria, Jumaat lalu.

Serangan itu dilancarkan dua hari selepas pangkalan selatan tentera di selatan Syria yang digunakan pakatan Amerika Syarikat memerangi kumpulan militan Daesh, diserang.

Jurucakap Komando Pusat Tentera Darat Mejar John Rigsbee berkata, kematian pemimpin kanan al-Qaeda itu akan menjejaskan keupayaan kumpulan militan itu dalam merancang dan melakukan serangan global.

"Serangan udara AS di barat laut Syria itu membunuh pemimpin kanan al-Qaeda, Abdul Hamid al-Matar.

"Al-Qaeda memberikan ancaman kepada Amerika dan sekutu kami. Al-Qaeda menggunakan Syria sebagai tempat selamat untuk membina semula, menyelaraskan dengan sekutu luar dan merancang operasi luar," katanya dalam satu kenyataan.

Serangan tidak menyebabkan individu lain terkorban kerana ia menggunakan pesawat dron MQ-9.

Penghujung September lalu, Pentagon membunuh seorang lagi pemimpin kanan kumpulan itu, Salim Abu-Ahmad dalam serangan udara berhampiran Idlib.

Peperangan yang sedang berlangsung di Syria mewujudkan satu medan perang kompleks membabitkan tentera asing, militan dan pejuang.

Sejak dicetuskan pada 2011, perang itu membunuh kira-kira setengah juta orang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 10:06 AM