ANAK buah Bernhardt menjalani latihan petang semalam.
ANAK buah Bernhardt menjalani latihan petang semalam.
myMetro

Kuala Lumpur: Penyertaan julung kali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara pada Kejohanan Antarabangsa Piala Dubai B-23 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan digunakan sebaik-baiknya untuk membentuk pasukan mantap dengan Frank Bernhardt tidak rela anak buahnya menjadi mangsa belasahan.

Diletakkan dalam Kumpulan B bersama tiga pasukan terbaik rantau ini Arab Saudi, Jordan dan China bermula Isnin ini, ia sememangnya bukan tugas mudah tetapi Bernhardt tidak akan sesekali membiarkan skuad kendaliannya dibelasah teruk.

“Kejohanan itu (Piala Dubai) bagi saya cukup baik dalam memberi pendedahan kepada kami yang kini dalam persiapan untuk menghadapi temasya Sukan SEA, Ogos depan.

“Walaupun keputusan dalam beberapa aksi persahabatan sebelum ini tewas termasuk kekalahan di tangan Vietnam bulan lalu, kunjungan kami ke sana bukanlah untuk menjadi pasukan belasahan.

“Apa yang penting kami mahu menentang pasukan terkuat Asia seperti Arab Saudi dan China yang mampu mematangkan pasukan ini supaya tampil lebih mantap di Sukan SEA nanti.

“Saya lihat pemain bersemangat untuk menghadapi kejohanan itu. Semua tidak sabar menanti perlawanan kerana saya dapat melihatnya menerusi sesi latihan yang diadakan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan yang dijalankan di padang Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Kempen pasukan negara dalam kejohanan itu bermula dengan menentang China di Stadium FA UAE pada 20 Mac ini, diikuti Arab Saudi pada 23 Mac di Stadium Kelab Pegawai Polis sebelum menutup saingan kumpulan bertemu Jordan di Stadium FA UAE tiga hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 8:40 AM