Kasihan pula bila mendengar perihal pengurus artis yang 'dibuang' selepas bersusah payah menaikkan nama pelakon muda.

Segala usaha pengurus berpengalaman ini dirasakan sia-sia apabila pelakon itu menghentikan khidmatnya baru-baru ini tanpa sebab kukuh.

Lebih sadis, perkara itu dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp. Langsung tak ada adab, sedangkan banyak pe­ngorbanan dilakukan sepanjang menjaga kerjaya pelakon itu.

Sikap pelakon terbabit tidak ubah seperti kacang lupakan kulit. Apabila mengecapi populariti dan tawaran semakin banyak, dia mula lupa diri.

Dengarnya, pelakon itu tidak berkenan apabila pengurusnya campur tangan dalam urusan peribadinya. Nak salahkan pe­ngurus ini pun tak boleh kerana pelakon itu hilang fokus ketika bekerja sejak bercinta dengan rakan artis.

Disiplin juga makin 'ke laut' hingga mula menjadi buah mulut orang. Atas dasar tanggungjawab serta demi kebaikan masa depan pelakon itu, pengurus ini memberi teguran.

Tak sangka pula niat baiknya boleh menimbulkan kemarahan pelakon itu, sekali gus menjadi penyebab perkhidmatannya ditamatkan.

Lebih pedih apabila keprihatinannya dianggap 'menyibuk'. Dia sebenarnya tak kisah jika pelakon itu bercinta waima berkahwin sekali pun tetapi jangan sampai mabuk asmara hingga prestasi kerja terjejas.

Tak mengapalah, kalau orang tak sudi, dia pun tidak terhegeh-hegeh. Bukan setahun dua dia dalam industri, ramai lagi yang boleh menggunakan khidmat­nya.

Namun lumrah manusia, apabila diperlakukan seperti itu, pasti ada rasa sedih dan kecewa. Meskipun ralat, dia tidak berdendam, sebaliknya mendoakan kerjaya pelakon itu terus ber­kembang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:01 AM