Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas cemerlang mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam aksi Kumpulan A, skuad hoki kebangsaan dijangka merehatkan beberapa pemain utama pada perlawanan terakhir bertemu Fiji di Stadium Maulana Bhasani, Dhaka hari ini.

Menurut ketua pasukan Sukri Abdul Mutalib (gambar), mereka mahu mengekalkan rentak kemenangan selepas menumpaskan tuan rumah Bangladesh 3-0 dan Oman 6-1 namun pihak pengurusan mungkin merencanakan sesuatu yang berbeza bagi aksi terakhir peringkat kumpulan.

“Apa yang saya dengar mungkin ada banyak pertukaran untuk membolehkan pemain utama direhatkan kerana apa yang penting bagi kami sekarang adalah perlawanan suku akhir dan separuh akhir,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Tidak kira apapun keputusannya hari ini, keempat-empat pasukan dari Kumpulan A akan beraksi pada suku akhir, namun masing-masing cuba untuk mencari kedudukan terbaik supaya mendapat undian lebih mudah.

Setakat ini Malaysia mengungguli kumpulan dengan mengumpul enam mata dan meledak sembilan gol dan kemenangan besar hari ini akan membantu pasukan bimbingan Stephen Van Huizen itu untuk muncul juara kumpulan.

Ujar Sukri, secara keseluruhan moral dan motivasi pemain setakat ini berada dalam keadaan baik terutama sekali selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut.

“Dengan kehadiran semula tonggak pasukan Faiz Helmi Jali ia dapat mengukuhkan lagi barisan pertahanan untuk aksi seterusnya. Pemain akan sentiasa fokus untuk aksi selepas ini dan mencapai sasaran yang ditetapkan untuk kejohanan ini (juara),” katanya.

Mengulas kembali aksi bertemu Oman kelmarin, Sukri berkata, mereka beraksi dengan amat baik terutama pada suku ketiga dan keempat walaupun pemain lawan melakukan provokasi.

“Kami berjaya memperbaiki kelemahan di suku pertama dan kedua, seterusnya tidak mempedulikan kerenah pemain lawan. Hasilnya kami mampu beraksi dengan cemerlang.”

Jika berjaya mencapai sasaran muncul juara pada kejohanan ini, Malaysian Tigers akan layak ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London (Jun) atau Johannesburg (Julai).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 10:23 AM