ALIAS Alan (tengah) dikekang tiga pemain  Sawsco FC.
ALIAS Alan (tengah) dikekang tiga pemain Sawsco FC.

Kuala Lumpur: Skuad elit bawah 14 (B-14) Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam kejohanan Piala Supermokh 2016 apabila menewaskan skuad Sawsco FC B-14 dari Indonesia 2-1 di padang D Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, semalam.

Skuad bimbingan Lim Teong Kim menjuarai Kumpulan C selepas mengumpul sembilan mata.

Dalam aksi itu, dua gol pasukan tuan rumah dijaringkan Arif Aiman Hanapi dan Muhammad Afiq Haiqal Che Man pada minit keempat dan kelapan manakala pelawat meraih gol sagu hati menerusi ketua pasukan Andri Febriansyah di minit ke-25.

Dalam aksi kumpulan sebelum ini, pasukan utama NFDP itu mencatat kemenangan ke atas Bangladesh B-14 1-0 pada perlawanan pertama sebelum melakar kemenangan 4-0 ke atas kelab Jepun, Kawasaki Frontale kelmarin.

Sementara itu, skuad Malaysia Panthers B-14 yang juga pasukan elit kedua NFDP berjaya bangkit daripada kekalahan kepada Paris Saint Germain (PSG) apabila membelasah kelab Iran Foolad Sepahan 8-0 dalam aksi kumpulan E.

Pengendali pasukan Malaysia Panthers B-14, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, kemenangan besar itu cukup penting buat pasukannya untuk cuba melepasi peringkat kumpulan.

“Kami kalah (kepada PSG) dan ia sedikit sebanyak menggugat kedudukan kami untuk mara ke suku akhir selaku juara kumpulan.

“Saya harap kami mampu muncul pasukan kedua terbaik dari semua kumpulan sekali gus dapat mengelak daripada beraksi di pusingan play-off,” katanya kepada Arena Metro di sini semalam.

Berdasarkan format kejohanan, hanya juara setiap kumpulan layak secara automatik ke peringkat suku akhir yang mengandungi lima kumpulan.

Begitupun, pasukan yang berada di tangga kedua daripada lima kumpulan terbabit turut layak secara automatik manakala baki empat lagi pasukan kedua akan beraksi di pusingan play-off untuk mencari dua pemenang ke peringkat lapan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 7:03 AM