PEMAIN negara Najib Abu Hassan (tengah) diasak pemain ACT Canberra Lakers.
PEMAIN negara Najib Abu Hassan (tengah) diasak pemain ACT Canberra Lakers.
Ferzalfie Fauzi


Perth: Kemenangan 3-0 ke atas Australian Capital Territory (ACT) Canberra Lakers dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan Liga Hoki Australia (AHL) adalah aksi paling cemerlang dipamerkan anak buah Stephen Van Huizen.

Skuad hoki negara seakan beraksi di tanah air sendiri dengan semua percaturan, strategi dan semangat pemain juga sungguh luar biasa, sekali gus memberi petanda mereka mahu menamatkan kejohanan ini di kedudukan lima terbaik daripada 12 pasukan mengambil bahagian.

Menurut ketua pasukan, Sukri Abdul Mutalib, semua pemain mengikut segala arahan jurulatih dan mengambil peluang sebaik mungkin untuk menjaringkan gol.

“Apabila kita mengambil peluang terhidang memang kemenangan yang akan diraih,” kata pemain berusia 30 tahun kelahiran Perak itu.

Jelasnya, pemain juga berdisiplin ketika mempertahankan pintu gol apabila lawan dihadiahkan pukulan sudut penalti.

“Kita juga mengharapkan kepada barisan serangan yang bertindak baik ketika bola berada di kawasan lawan. Mereka membantu barisan tengah dan pertahan dengan baik sekali. Dalam permainan hoki bukan pertahanan saja ditugaskan untuk bertahan tapi semua termasuk serangan.

“Semua pemain juga melakukan tugas masing-masing dengan baik sekali, mengikut segala arahan yang diberikan,” kata Sukri.

Ditanya mengenai perlawanan tempat ke-5/6 hari ini menentang Queensland Blades, dia berkata sasaran pasukan adalah untuk mencatat kemenangan walaupun mereka pernah tumpas sebelum ini kepada pasukan berkenaan di peringkat kumpulan.

Malaysia Tigers membuka jaringan pada minit kelima melalui gol padang Shahril Saabah, Haziq Samsul (m-7) dan Ramadan Rosli (m-49). Kesemua jaringan itu menerusi melalui gol padang.

Sementara itu, Malaysia Blue (skuad pembangunan) tumpas 1-5 kepada Northern Territory (NT) Stingers dalam perlawanan penentuan tempat ke-5/8 dan hari ini mereka bakal berdepan New Zealand Futures untuk saingan ke-11/12.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:12 AM