RAZIE (kanan) turut cetak nama sebagai penjaring selepas sempurna pukulan sudut penalti.
RAZIE (kanan) turut cetak nama sebagai penjaring selepas sempurna pukulan sudut penalti.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Skuad hoki negara meneruskan rentak cemerlang pada Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka semalam apabila membelasah Oman 6-1 seterusnya meletakkan mereka pada landasan terbaik untuk muncul juara Kumpulan A bagi memperoleh undian mudah di suku akhir.

Menurut pengurus pasukan Nasihin Nubli Ibrahim setidak-tidaknya mereka sudah berjaya mencapai sasaran dalam aksi kedua di Stadium Hoki Nasional Moulana Bhasani untuk mencari kemenangan selesa dan memperoleh tiga mata.

“Perlawanan hari ini (semalam) memang kelihatan pemain mengalami keletihan apabila beraksi dalam cuaca panas dan bermain pada jam 1 petang namun ia bukan alasan untuk mereka tidak bermain dengan baik. Mereka banyak mencipta peluang menjaringkan gol tapi masih wujud ketumpulan dalam melakukan penyudah,” katanya.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu memuji anak buahnya yang mampu mencipta jaringan menerusi gol padang dan Nik Aiman Nik Rozemi memberikan satu petanda baik apabila meledak dua gol walaupun usianya baru mencecah 21 tahun.

Dalam aksi semalam, Malaysia tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila memperoleh jaringan melalui Sharil Saabah pada minit ke-11 melalui gol padang.

Pada minit ke-26 giliran Razie Rahim pula mencetak nama sebagai penjaring apabila tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Sebaik bersambung babak kedua Malaysian Tigers tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila pemain berpengalaman Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-33.

Tersentak dengan tiga gol itu, Oman cuba bangkit dan usaha mereka berhasil apabila memperoleh gol tunggal pada minit ke-37 menerusi jaringan padang Mohammed Al-Lawati.

Bagaimanapun, jaringan lawan tidak memadam semangat pemain negara apabila mereka terus menggandakan asakan untuk menambah gol dan Nik Aiman berjaya menjaringkan gol padang pada minit ke-42.

Enam minit kemudian Tengku Ahmad menjaringkan gol kedua peribadinya selepas melakukan pukulan kilas sebelum Nik Aiman meledakkan gol keenam di minit ke-53 juga menerusi jaringan padang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 8:55 AM