Pasukan hoki 5s negara
Pasukan hoki 5s negara
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pengurus pasukan hoki 5s lelaki kebangsaan, Sukri Abdul Mutalib tidak mahu meletakkan sasaran terlalu awal kepada pemainnya dalam persiapan ke Piala Dunia Hoki 5s Lelaki 2024 yang akan berlangsung di Muscat, Oman awal tahun hadapan.

Jelas Sukri, ketika ini barisan pemain dalam persediaan membentuk pasukan menjadi lebih baik supaya dapat tampil prestasi cemerlang di kejohanan itu kelak.

"Piala Dunia Hoki 5s ini dianjurkan buat kali pertama, sukar untuk kita dapatkan gambaran jelas mengenai kekuatan pasukan lawan, sebab itu saya cuba elak letak sasaran terlalu awal. Kita akan fokus perlawanan demi perlawanan, supaya pemain tidak terlalu tertekan.

"Sekarang pun kita masih dalam proses pemilihan pemain dan akan bawa 10 pemain termasuk dua penjaga gol dan kebanyakan mereka yang pernah beraksi bersama pasukan hoki padang," katanya.

Tambah Sukri, untuk melepasi peringkat kumpulan, Malaysia perlu memperoleh kemenangan dalam perlawanan pertama kerana ia boleh menjadi penentu ke pusingan seterusnya.

"Kemenangan pertama amat penting kerana akan memberi keyakinan lebih tinggi kepada pemain menghadapi perlawanan seterusnya.

"Pasukan kecil atau tidak di hoki padang sebenarnya mereka boleh memberi cabaran juga di hoki 5s kerana ia permainan yang sedikit berbeza antara hoki padang dan 5s,"katanya.

Selain itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal optimis pasukan hoki 5s negara mampu memberi cabaran di kejohanan yang julung kali diadakan itu dengan meletakkan harapan supaya layak ke peringkat separuh akhir.

Terdahulu, kejohanan Piala Dunia 5s akan diadakan pada 24 hingga 27 Januari bagi wanita, manakala 28 hingga 31 Januari pula bagi lelaki.

Skuad lelaki negara diundi kumpulan D bersama Oman, Amerika Syarikat dan Fiji manakala skuad wanita akan berentap dalam kumpulan A bersama Oman, Fiji dan Netherlands.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 2:27 PM